X

Kindly register in order to view this article
!

16 kilang kitar semula 'haram' di Sungai Petani ditutup

Kok Yew (dua dari kiri) dan Tze Min (dua dari kanan) ketika turun memeriksa kilang tanpa kebenaran pada Selasa lalu di Taman Songket Indah, dekat sini yang didapati sudah dikosongkan. -Foto Facebook Ooi Tze Min
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 16 kilang kitar semula tanpa lesen di kawasan Sungai Petani telah ditutup dan dihentikan operasi hasil tindakan penguatkuasaan secara bersepadu.

Exco Kerajaan Tempatan Kedah, Tan Kok Yew dan Exco Alam Sekitar Kedah, Simon Ooi Tze Min dalam kenyataan bersama berkata, terbaharu kilang tanpa kebenaran di Taman Songket Indah, dekat sini juga sudah dikosongkan.

Menurutnya, dengan penutupan tersebut, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan masalah penduduk perumahan di Taman Songket Indah selepas pemilik premis kilang tanpa kebenaran akur terhadap arahan pihak berkuasa tempatan.

"Sebelum ini, pelbagai tindakan penguat kuasa daripada semua agensi telah dilakukan terhadap kilang pemprosesan kitar semula yang berdekatan taman perumahan ini.

"Tinjauan di kilang berkenaan telah mengesahkan premis tersebut telah kosong tanpa sebarang mesin dan material," katanya kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai sebuah kerajaan negeri yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, isu persekitaran dan alam sekitar sebelum ini diambil serius dalam menangani isu berkenaan yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di kawasan terlibat.

Menurutnya, inisiatif tersebut termasuklah penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu kilang kitar semula tanpa lesen dan pemantauan pencemaran yang dipengerusikan bersama oleh Kok Yew dan Tze Min dengan dianggotai pelbagai agensi berkaitan.