Siasatan punca banjir lumpur Gunung Inas siap minggu depan

Keadaan titi Kampung Pisang, Kupang sebelum dan selepas runtuh disebabkan oleh banjir lumpur pertama pada 8 November lalu.
Keadaan titi Kampung Pisang, Kupang sebelum dan selepas runtuh disebabkan oleh banjir lumpur pertama pada 8 November lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasil siasatan punca banjir lumpur yang berlaku di Gunung Inas, Baling pada November lalu dijangka siap minggu depan sebelum diserahkan kepada kerajaan Kedah untuk tindakan susulan.

Exco Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah, Ooi Tze Min berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK) untuk menyiasat dakwaan penduduk kampung bahawa banjir lumpur berpunca daripada kawasan penanaman sebuah projek tanaman buah durian.

"Kami sudahpun mengarahkan syarikat tersebut untuk mematuhi undang-undang JAS bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar (di sekitar kawasan yang terjejas).

"Selepas laporan lengkap (punca banjir lumpur diperolehi), kerajaan Kedah akan memaklumkan maklumat terkini termasuk mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah itu,"katanya pada sidang akhbar di Program Sehati Sejiwa Peringkat Negeri Kedah di Tanjong Chali dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Setar, Chan Ming Kai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Kedah, Zaidi Tuah.

Terdahulu Tze Min menjelaskan projek tanaman buah itu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 2013 termasuk kelulusan JPNK.

Pada 21 November lalu, Sinar Harian melaporkan lebih 100 penduduk di kawasan Bayu dan Kupang terjejas akibat banjir lumpur yang dipercayai berpunca daripada projek penanaman buah durian di Gunung Inas.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir lumpur: Lebih 100 penduduk terjejas

Artikel Berkaitan:

ADUN Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu membabitkan sekurang-kurangnya lebih 30 rumah.

Menurutnya, pihaknya sedang melakukan siasatan rapi untuk mendapatkan jumlah kerugian sebenar dihadapi pemilik-pemilik rumah di Kampung Bukit lboi, Kampung lboi dan Kampung Bendang Becah.

Sementara itu Zaidi berkata, Tanjong Chali dipilih sebagai kawasan rekreasi pertama di Alor Setar mempunyai kemudahan kutipan barang kitar semula secara pandu lalu oleh pihaknya.

Jelasnya, peniaga dan penduduk sekitar boleh menjana pendapatan melalui kaedah barangan kitar semula selepas ia mula dilaksanakan secara sebulan sekali.

"Kita pilih kawasan rekreasi ini kerana dapat memupuk semangat menjaga kebersihan di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Pada waktu sama mereka juga dapat menjana pendapatan sampingan," katanya.