Banjir lumpur: Lebih 100 penduduk terjejas

Abd Nasir meninjau dan melihat kesan banjir lumpur di sebuah rumah penduduk di Kampung Iboi hari ini.
Abd Nasir meninjau dan melihat kesan banjir lumpur di sebuah rumah penduduk di Kampung Iboi hari ini.
A
A
A

BALING - Lebih 100 penduduk di kawasan Bayu dan Kupang terjejas akibat banjir kilat yang membawa lumpur Selasa lalu yang dipercayai berpunca daripada sebuah projek tanaman durian, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kejadian terbabit adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu ini melibatkan sekurang-kurangnya lebih 30 buah rumah.

Menurutnya, pihaknya sedang melakukan siasatan rapi untuk mendapatkan jumlah kerugian sebenar dihadapi pemilik-pemilik rumah di Kampung Bukit lboi, Kampung lboi dan Kampung Bendang Becah.

"Banjir kali kedua ini lebih besar yang membawa selut lumpur dan puncanya dipercayai daripada projek tanaman durian itu. Lumpur telah merosakkan harta benda penduduk dan sesetengah daripada mereka mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

"Pada banjir pertama yang lalu (8 November), sebahagian penduduk diberikan pampasan RM500, namun tidak memadai dengan kerja teruk seperti perlu membersihkan rumah selain terdapat barang kelengkapan rumah yang rosak. Ada pula sebahagian penduduk masih belum menerima sebarang pampasan," katanya selepas meninjau kawasan yang terlibat hari ini.

Keadaan titi Kampung Pisang, Kupang sebelum dan selepas runtuh disebabkan oleh banjir lumpur pertama pada 8 November lalu.
Keadaan titi Kampung Pisang, Kupang sebelum dan selepas runtuh disebabkan oleh banjir lumpur pertama pada 8 November lalu.

Abd Nasir berkata, beliau menuntut supaya pampasan diberikan segera kepada semua mangsa yang terlibat dengan bayaran yang setimpal oleh pihak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, penduduk kawasan tersebut tidak pernah mengalami masalah banjir lumpur sebelum kehadiran projek tanaman durian itu.

Sementara itu, ADUN Kupang, Brigedier General (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, banjir lumpur pada kali pertama tersebut juga menyebabkan sebuah titi yang menjadi kemudahan menghubungkan penduduk dengan laluan utama di Kampung Pisang juga runtuh.

"Saya berharap kerajaan memberikan perhatian kepada titi ini kerana menjadi kegunaan penduduk kampung, malah ia menghubungkan pelajar dengan sebuah sekolah agama di kawasan itu.

"Kini penduduk sekitar terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan mengambil masa buat mereka untuk sampai ke destinasi masing-masing, selain laluan berkenaan juga tidak selesa dan sempit, malah mendatangkan bahaya kepada pengguna terutamanya pada waktu malam," katanya.

Di kawasan Kupang, sebanyak lapan buah rumah di Kampung Tanjung Merbau dan lima buah rumah di Kampung Sadiq juga terjejas berikutan banjir lumpur tersebut.