Pulanglah kakak, umi tak marah

Zulaikha Balqis
Zulaikha Balqis
A
A
A

RANTAU PANJANG - "Pulanglah kakak....umi tak marah. Umi tegur bukan sebab benci atau marah, umi buat begitu sebab sayangkan kakak,".

Itulah rayuan seorang ibu kepada anaknya, Zulaikha Balqis Asmadi, 16, yang menghilangkan diri tanpa sebarang jejak sejak 3 Januari lalu.

Zuraidah Abdul Salam, 40, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik itu menghilangkan diri selepas diberi nasihat mengenai tingkah lakunya.

"Ketika kejadian, seluruh rumah di Kampung Rahmat bergelap kerana ketiadaan bekalan elektrik.

"Saya ingatkan dia mendengar nasihat itu, maklumkan dalam suasana yang gelap-gelita.

"Zulaikha Balqis seorang penakut, jadi saya hairan kenapa dia tak datang ke tempat kami berkumpul yang diterangi cahaya pelita," katanya.

Menurutnya, dia kemudian terus ke bilik anaknya itu untuk membuat pemeriksaan dan terkejut mendapati Zulaikha Balqis tiada.

Katanya, pada peringkat awal dia beranggapan Zulaikha Balqis telah pergi ke rumah datuknya yang terletak di bahagian belakang.

Artikel Berkaitan:

"Zulaikha Balqis sering ke rumah datuknya setiap kali merajuk, namun kali ini dia tiada di situ. Saya ingatkan dia berada di kawasan sekitar.

"Namun pada keesokan harinya, Zulaikha Balqis tidak pulang dan selepas 24 jam saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis," katanya.

Zuraidah berkata, usaha mencari anaknya itu sudah dijalankan oleh seluruh ahli keluarga namun setakat ini masih belum menemui sebarang petunjuk.

Katanya, hari ini genaplah seminggu Zulaikha Balqis menghilangkan diri.

"Saya juga telah melakukan solat hajat, supaya Zulaikha Balqis berada dalam keadaan selamat.

"Sebagai ibu saya tidak putus-putus berdoa semoga dia pulang dengan selamat. Saya amat sayangkan dia," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pernah terserempak dengan Zulaikha Balqis boleh menghubungi Zuraidah di talian 018-2311889.