Gajah ancam periuk nasi penduduk

Kawanan gajah berkeliaran di kawasan Batu Melintang, Jeli. Foto Janaan AI  
Kawanan gajah berkeliaran di kawasan Batu Melintang, Jeli. Foto Janaan AI  
A
A
A

JELI – Penduduk yang puluhan tahun mengusahakan kebun untuk menyara keluarga kini semakin tertekan apabila gajah liar kerap memasuki kampung dan memusnahkan tanaman sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Konflik manusia-gajah yang berlarutan sejak belasan tahun lalu kini semakin meruncing apabila gajah liar hampir setiap hari berkeliaran di kebun dan penempatan sehingga menjejaskan kira-kira 10,000 penduduk di 20 kampung di Batu Melintang.

Penduduk, Mohd Sabri Shafie, 36, berkata, gangguan gajah di kawasan Kuala Long dan seberang Sungai Kuala Long berlaku sejak 1970-an, namun kekerapan serangan semakin meningkat sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, kebun seluas kira-kira 5.26 hektar yang diusahakan bersama tanaman getah, sawit, durian dan dokong sering menjadi sasaran kumpulan gajah yang boleh muncul.

“Sudah tidak terkira berapa kali kebun kena. Kadang-kadang satu kumpulan ada enam ekor dan pernah nampak sendiri lima ekor gajah pada jarak tidak sampai 100 meter.

“Pokok sawit yang baru ditanam tiga tahun boleh habis dimakan, manakala daun sawit yang dimakan menyebabkan pokok terbantut dan susah pulih untuk berbuah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mohd Sabri berkata, kerosakan turut melibatkan pagar besi kebun selain pokok dokong tumbang dan buah yang belum sempat dituai.

Dia menganggarkan kerugian kira-kira RM70,000 sepanjang lebih 10 tahun berdepan serangan gajah yang merosakkan pagar kebun, pokok dan anak pokok sawit.

Katanya, kumpulan gajah juga semakin kerap dilihat di laluan lama Gunung Reng-Sungai Long, termasuk pada waktu siang, menyebabkan penduduk perlu sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dia sendiri berhubung rapat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi berkongsi maklumat berkaitan pergerakan gajah.

“Perhilitan ada membuat rondaan dan kami penduduk berhubung baik dengan mereka.

“Kami sendiri pun dah banyak kali terserempak gajah dan kalau bertemu gajah, jangan menghadap atau berdepan dengannya, sebaliknya perlu berundur perlahan-lahan tak nak beri gajah terkejut,” katanya.

Kesan gajah yang merosakkan tanaman pisang selepas memakai buahnya. 
Kesan gajah yang merosakkan tanaman pisang selepas memakai buahnya. 

Bagi Isa Harun, 74, kerosakan tanaman akibat gajah semakin dirasai apabila kebun yang diusahakannya di Kampung Gunung Reng kehilangan sebahagian besar pokok dokong dan durian yang ditanam sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Katanya, daripada kira-kira 2,000 pokok dokong yang pernah diusahakan hanya sekitar 100 pokok masih tinggal manakala jumlah pokok durian berkurangan daripada kira-kira 400 kepada 100 pokok.

“Pokok yang sudah besar dan boleh mengeluarkan hasil pun tumbang. Kami tanam bertahun-tahun, tapi sekali gajah datang, habis licin kebun.

“Kalau keadaan berterusan, 10 tahun lagi mungkin tidak ada hasil kebun untuk penduduk. Hendak tanam semula pun susah kerana gajah akan datang makan,” katanya.

Menurutnya, serangan gajah bukan hanya berlaku ketika musim buah malah haiwan itu tetap memasuki kebun walaupun tiada tanaman yang sedang berbuah.

Beliau berkata, tanaman durian jenis Musang King dan kunyit dan duri hitam yang mempunyai nilai pasaran tinggi turut mengalami kerosakan, selain pokok getah patah dan tanaman lain dimakan.

Isa mengakui masih terus berkebun dalam kesukaran dan ketakutan kerana tanaman berkenaan itu menjadi sumber pendapatan, walau terpaksa menanggung kos tambahan untuk membersihkan kebun selepas gajah meninggalkan kesan kerosakan.

“Sekali membersihkan kebun, kena bayar RM200 hingga RM300. Itu belum lagi dikira kerugian apabila pokok yang sepatutnya boleh mengeluarkan hasil tapi dah tumbang.

“Kami hendak menanam pun takut, tetapi kalau tidak tanam, dari mana hendak dapat pendapatan?,” katanya.

Kumpulan gajah masuk ke kawasan penduduk untuk mencari makanan. Foto penduduk
Kumpulan gajah masuk ke kawasan penduduk untuk mencari makanan. Foto penduduk

Sementara itu, Penghulu Gunung Reng, Aidil Ab Rahman berkata, ancaman gajah turut menyebabkan sebahagian penduduk semakin tawar hati untuk mengusahakan kebun apabila modal yang dilaburkan tidak dapat dikembalikan.

Menurutnya, kebun kelapa sawit seluas enam ekar yang diusahakan dengan modal hampir RM30,000 pernah dimusnahkan sekumpulan kira-kira 10 ekor gajah.

“Putus angin sudah hendak buat kebun apabila tanaman habis dimakan gajah. Ada juga penduduk yang mahu menjual tanah kebun, tetapi tidak laku kerana ancaman haiwan itu.

“Sekarang bukan soal tanaman sahaja, tapi isu keselamatan manusia. Gajah boleh keluar berkumpulan tujuh hingga lapan ekor dan kami tidak tahu bila akan terserempak,” katanya.

Aidil berkata, penduduk terpaksa mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum menggunakan laluan tertentu, terutama jalan Gunung Reng-Sungai Long yang sering menjadi laluan haiwan berkenaan pada waktu malam.

“Penduduk sendiri buat kumpulan komunikasi WhatApps untuk kongsi maklumat pergerakan gajah dan memaklumkan kawasan yang berisiko dilalui.

“Masalah itu memerlukan perhatian serta kerjasama pelbagai pihak kerana penduduk tidak mampu terus menanggung kerugian setiap kali tanaman dimusnahkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!