LTTE: Kes juruteknik, pemandu teksi dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

No Image Caption
A
A
A

KUALA KANGSAR - Mahkamah Sesyen di sini memindahkan kes seorang juruteknik dan pemandu teksi atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Rohaida Ishak membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes S Arivainthan dan V Balamurugan itu.

"Mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Permohonan berhubung jaminan juga boleh dikemukakan di mahkamah itu,” katanya pada prosiding sebutan semula kes itu hari ini.

Terdahulu, Rohaiza mengemukakan permohonan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi​​​​​mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam prosiding sama, peguam Matthews Jude yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya telah membuat aduan mengikut Seksyen 128 dan 131 Kanun Tatacara Jenayah terhadap seorang anggota polis kerana didakwa memberi layanan tidak baik ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari Penjara Sungai Buloh, Selangor ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Rohaida bagaimanapun memanggil pihak-pihak termasuk kedua-dua tertuduh dan anggota polis terbabit masuk ke dalam kamarnya sebaik prosiding itu tamat.

Sementara itu, Matthews ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Rohaida akan membuat satu laporan dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah supaya pihak pendakwaan menjalankan siasatan terhadap dakwaan kedua-dua tertuduh itu.

"Notis itu akan dikemukakan dalam masa tujuh hari dan kami akan menunggu siasatan lanjut dan juga apakah keputusan terhadap seorang anggota polis yang dinamakan dalam kamar hakim Mahkamah Sesyen. Selebihnya bergantung kepada mahkamah untuk putuskan sama ada terdapat suatu kesalahan atau tidak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas prosiding hari ini, Mahkamah Sesyen juga membenarkan kedua-dua tertuduh berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing kerana akses untuk menemui keluarga mereka sangat terhad sejak direman pada 10 Oktober lepas.

Pada 29 Oktober lepas, Arivainthan, 27, dan Balamurugan, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE sejak 2014. - Bernama