Majistret didakwa minta, terima rasuah RM295,000

Mohamad Amin (tengah) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Khas Rasuah menuju ke kaunter pembayaran untuk menjelaskan ikat jamin.
Mohamad Amin (tengah) dibawa keluar dari kamar Mahkamah Khas Rasuah menuju ke kaunter pembayaran untuk menjelaskan ikat jamin.
A
A
A

KUANTAN - Seorang majistret mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, terhadap lapan pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan nilai RM295,000.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Mohamad Amin Shahul Hamid, 38, didakwa meminta suapan RM185,000 dan menerima RM110,000 daripada seorang penjual rokok, Hasan Basri Ahmad Sutan Modo yang merupakan seorang tertuduh bagi beberapa kes di bawah kendaliannya.

Mohamad Amin didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan kepada beliau untuk hanya mengenakan hukuman denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hasan Basri, sedangkan pendakwaan terhadap Hasan Basri adalah mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang dilarang iaitu import rokok kretek dan rokok putih.

Berdasarkan seksyen tersebut, Hasan Basri boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan meminta dan menerima rasuah tersebut didakwa dilakukannya antara Julai hingga Oktober 2019 di beberapa lokasi berbeza sekitar daerah Raub.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad membenarkan Mohamad Amin diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan, manakala pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan terhadap Mohamad Amin dibuat mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama iaitu sekiranya didapati bersalah, Mohamad Amin boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Kes akan disebut semula 15 Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan: