Sultan Pahang boleh dilantik Agong walau gering

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah boleh dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong meskipun baginda dalam keadaan gering.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, tugas sebagai ketua negara itu boleh dijalankan oleh pemangkunya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Namun katanya, semua keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-raja.

“Sekiranya Sultan Pahang diberi peraturan biasa iaitu gilirannya menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda gering tapi boleh dilantik sekiranya dibenarkan Majlis Raja-raja dan baginda berminat.

“Walau baginda gering pun, pemangkunya boleh melaksanakan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong. Jadi saya rasa masih boleh ikut sistem giliran cuma soalnya sekarang, apakah itu dibenarkan Majlis Raja-raja?,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengikut Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan syarat seseorang raja akan dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah dewasa, tidak menolak untuk dipilih dan tidak ditolak oleh Majlis Raja-raja.

Menurutnya, sekiranya Sultan Pahang menolak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, giliran seterusnya ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pergiliran negeri dalam pusingan pertama Yang di-Pertuan Agong telah selesai sebelum ini dengan urutan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pusingan kedua masih berbaki tiga negeri yang masih belum dipilih iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Dalam pada itu, Ramlah berpendapat Majlis Raja-raja akan sedaya upaya mengikut sistem giliran tersebut supaya tidak menyinggung mana-mana pihak.

“Kalau mengikut sistem dulu-dulu kita gunakan sistem giliran yang diikuti dengan undi sulit. Pusingan pertama sudah tamat, sekarang pusing kedua jadi.

“Kalau Sultan Pahang tidak mahu jadi Yang di-Pertuan Agong barulah giliran itu turun kepada Sultan Johor.

“Saya rasa Majlis Raja-raja akan sedayanya mengikut giliran sebab ini satu perkara yang mereka tidak mahu singgung. Maksudnya, mereka tidak akan membuat keputusan sebarangan,” katanya.