'Tumpahan bahan kimia' cemaskan pengguna Plaza Tol Kuantan

Insiden pelanggaran di Plaza Tol Kuantan, di sini membabitkan sebuah lori membawa muatan bahan kimia dengan sebuah kenderaan awam.
Insiden pelanggaran di Plaza Tol Kuantan, di sini membabitkan sebuah lori membawa muatan bahan kimia dengan sebuah kenderaan awam.
A
A
A

KUANTAN - Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) dikejutkan dengan kejadian 'tumpahan asid hidroklorik akibat kemalangan' melibatkan lori tangki membawa muatan bahan kimia itu dengan sebuah kereta di Plaza Tol Kuantan, di sini semalam.

Kemalangan berlaku apabila lori berkenaan terbabas akibat masalah brek sebelum melanggar sebuah kereta menyebabkan pemandu dan kelindan parah, manakala pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan.

Akibat 'kemalangan' itu, tangki muatan bahan kimia berkenaan bocor dan tumpah ke atas jalan hingga mencemaskan pengguna, namun berjaya ditangani hasil kecekapan kakitangan syarikat konsesi, Anih Berhad bersama kakitangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Anih Berhad dalam kenyataannya memaklumkan, situasi cemas itu sebenarnya hanya satu latihan simulasi kemalangan bagi menilai tahap kesediaan dan kecekapan kakitangan syarikat dalam menguruskan kecemasan bersama agensi berkaitan.

Latihan simulasi kemalangan itu melibatkan 90 petugas dari enam agensi kerajaan termasuk polis, bomba menerusi Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, yang berperanan menggerakkan modus operandi menyelamat pada waktu kecemasan.

Pasukan Hazmat bomba melakukan simulasi menyelamat mangsa dan mengawal tumpahan bahan kimia pada latihan itu, di Plaza Tol Kuantan semalam.
Pasukan Hazmat bomba melakukan simulasi menyelamat mangsa dan mengawal tumpahan bahan kimia pada latihan itu, di Plaza Tol Kuantan semalam.

Menurut kenyataan itu, latihan itu juga diadakan untuk menilai tahap keberkesanan komunikasi di antara Anih Berhad dan semua agensi terlibat khususnya dalam aspek penyebaran maklumat insiden kepada pengguna lebuh raya menerusi platform Twitter, Facebook dan papan tanda elektronik (VMS).

"Sepanjang latihan itu, kemahiran dan pengetahuan pegawai Anih Berhad bersama anggota penyelamat dizahirkan bersama-sama bagi melancarkan pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi tersebut disifatkan berjaya apabila setiap pasukan memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan tugas mengikut proses prosedur tindakan tatacara operasi yang ditetapkan bagi menyelamat mangsa ketika kecemasan," katanya.