Isu hak milik kekal: Aziz Bari ajak Saarani berforum

Abdul Aziz menunjukkan buku Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa isu berkaitan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri pada sidang media hari ini.
Abdul Aziz menunjukkan buku Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa isu berkaitan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menjemput Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk bersama-sama berbincang melalui forum bagi menyelesaikan polemik pemberian hak milik kekal tanah di negeri ini.

Menurut Abdul Aziz, perbincangan bersama perlu dilakukan bagi memberikan pencerahan kepada orang ramai sama ada pemberian tersebut benar-benar melanggar Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan tanah adalah kuasa kerajaan negeri manakala Majlis Tanah Negara (MTN) hanya bertindak sebagai penasihat berkaitan isu-isu tanah.

"Nampak ada kekeliruan dari segi undang-undang. Jadi saya mengajak Datuk Saarani kalau sudi ke depan, kita bincangkan supaya isu ini dapat dijernihkan.

"Saya bimbang kalau ia berlarutan dan tidak dijelaskan akan mengelirukan dan menimbulkan ketegangan kaum," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan berkata, banyak kenyataan daripada pemimpin UMNO dan Pas berhubung isu pemberian hak milik kekal itu mengelirukan.

Menurutnya, kenyataan diberikan memberi fokus kepada kampung baharu sedangkan di dalam manifesto menyebutkan hak milik kekal untuk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan penempatan Felda.

"Sebab itu kalau dapat kita bersemuka dan berforum mungkin boleh buat sedikit pencerahan, kita dapat 'move on' supaya tak timbul soal-soal kekeliruan ini. Biar orang ramai mengikuti forum atau perbincangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu bukan bermaksud merampas tanah orang Melayu seperti dinyatakan portal tertentu tetapi membabitkan tanah sedia ada yang diduduki sekian lama diberikan hak milik untuk kediaman masing-masing," katanya.

Abdul Aziz (kanan) ketika sidang media menjemput Saarani untuk berforum bagi menjelaskan mengenai isu hak milik kekal tanah kampung baharu.
Abdul Aziz (kanan) ketika sidang media menjemput Saarani untuk berforum bagi menjelaskan mengenai isu hak milik kekal tanah kampung baharu.

Katanya, kebimbangan bahawa bayaran premium tanah akan meningkat dan mahal, perkara itu akan diperincikan kemudian memandangkan kadar tersebut ditentukan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa memberikan diskaun dan sebagainya.

"Kita menawarkan, bukan paksa. Kalau yang tak ada duit rasa tak mampu nak kekalkan tempoh pajakan itu, terpulanglah tetapi kita berjanji nak bagi hak milik kekal itu kepada mereka yang layak jadi soal mahal (bayaran premium) tak timbul.

"Kita akan buat dasar yang jelas selepas ini. Di Perak ini kita tak perlu bincang dengan sesiapa. Di Pulau Pinang pun tak ada (pemberian hak milik kekal tanah), di Selangor pun tak ada benda ini, hanya PH di Perak sahaja yang buat. Jadi mudahlah kita nak putuskan," katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya difahamkan pakar-pakar hartanah melihat pemberian hak milik kekal mempunyai kebaikan dari segi ekonomi negeri dan sebagainya dan sekaligus kedudukan ekonomi negeri dapat diperkasakan.

Sebelum ini, isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu mencetuskan polemik dari segi pelaksanaannya apabila pembangkang menganggap perkara tersebut bercanggah dengan perlembagaan.

Saarani dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan pemberian hak milik kekal tanah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat MTN ke-73.

ARTIKEL BERKAITAN: Hak milik kekal tanah: Jangan cabul Perlembagaan

Isu tersebut kembali hangat diperkatakan apabila Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuntut supaya janji yang termaktub di dalam manifesto tersebut dilaksanakan segera ketika Konvensyen DAP Perak yang berlangsung bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Perak tuntut janji hak milik kekal kampung baru

Pada 13 Ogos 2018, Ahmad Faizal ketika menggulung perbahasan atas Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 menjelaskan pihaknya tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.