Banjir: Perkhidmatan tren dihentikan jika paras air bahaya

Datuk Kamarudin Jaffar
Datuk Kamarudin Jaffar
A
A
A

BATU GAJAH - Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan pantai timur akan dihentikan sementara sekiranya paras air terlalu tinggi dan membahayakan pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, langkah itu mengambil kira faktor keselamatan penumpang dan impak banjir besar yang melanda negeri-negeri di pantai timur sejak akhir bulan lalu.

"Sekarang ini semua laluan kereta api berjalan seperti biasa walaupun musim tengkujuh.

"Jika berlaku keadaan tidak selamat untuk kereta api beroperasi, sudah tentu khidmat akan dihentikan sementara waktu, kita akan hentikan perkhidmatan mungkin dari satu stesen ke satu stesen yang terlibat banjir," katanya kepada pemberita hari ini.

Pada 2 Disember lepas, KTMB mengumumkan perubahan operasi melibatkan perkhidmatan tren yang bermula dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas berikutan keadaan semasa musim tengkujuh di kawasan pantai timur.

Kamarudin berkata, sekiranya perkhidmatan tergendala, KTMB memberi jaminan menyediakan perkhidmatan dalam bentuk lain seperti bas kepada penumpang di stesen-stesen atau laluan yang tidak boleh dilalui kereta api.

"Ianya seperti kita bayar tiket kereta api dari mana ke mana, kita jamin dari situ mereka akan sampai ikut destinasi yang telah ditempah bayar penumpang.

"Ini satu daripada usaha kita untuk memastikan operasi perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu walaupun banjir berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, KTMB sendiri telah pun membuka bilik gerakan banjir untuk memantau keadaan semasa di sana.

"Pemeriksaan dilakukan setiap hari untuk menentukan bahawa paras air sentiasa terkawal dan selamat untuk kita buat laluan," katanya.

Terdahulu, Kamarudin merasmikan Konvokesyen Akademi KTM Kali ke 4 di Akademi KTMB Batu Gajah yang menyaksikan 226 graduan merupakan kakitangan KTMB dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil KTMB, khusus dalam pengendalian kereta api.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal dan Pengurus Besar Akademi KTMB, M Chandrasagaran.

Sejak 2016 akademi berkenaan telah melahirkan 2,372 graduan yang mana penganugerahan sijil diselaraskan dengan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT).