'Kembalikan kegemilangan Cameron Highlands'

Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail
Gambar kecil: Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang mengambil beberapa langkah penting dalam memastikan perancangan pembangunan mampan dan lestari di Cameron Highlands.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan yang diambil antaranya semua 78 hak milik tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini melibatkan kawasan seluas kira-kira 5,519 hektar diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang.

Menurutnya, PSK akan menyewakannya dalam tempoh yang ditetapkan kepada pekebun.

"Pekebun yang berhasrat menyewa tanah PSK ini disyaratkan memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharuinya diberikan.

"Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat kerajaan Pahang, Pahang Corporation Sdn Bhd, telah ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja mengawal selia aspek pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan oleh MyGAP," katanya.

Wan Rosdy berkata, bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap, kesemua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

Menurutnya, penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Kerajaan negeri juga mengambil keputusan di mana kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar telah diluluskan bagi maksud perwartaan sebagai Hutan Simpan Sungai Ichat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pada mesyuarat MMK pada 17 September lalu seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands juga telah diluluskan bagi maksud perwartaan sebagai kawasan operasi MDCH

"Sementara itu, seluruh Hutan Simpanan Kekal Batu Gangan, Hutan Simpanan Kekal Batu Gangan Tambahan, Hutan Simpanan Kekal Hulu Ichat dan Hutan Simpanan Kekal Sungai Terla B seluas kira-kira 2,289.62 hektar diwartakan sebagai Taman Negeri," katanya.

Beliau berkata, pasukan task force ditubuhkan JPNP bagi menyelenggara program tanaman semula hutan khususnya di kawasan-kawasan rizab sungai.

"Saya berharap dengan langkah-langkah jitu dan padu ini akan dapat mengembalikan kegemilangan dan kelestarian Cameron Highlands," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen tinggi untuk terus berusaha bagi memelihara dan memulihara serta membangunkan kawasan tanah tinggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

"Komitmen ini diberikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan saya sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen pada 9 Disember lalu.

"Justeru bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan serta lestari di Cameron Highlands, sebuah perbadanan khusus telah diwujudkan dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH)," katanya.

Katanya, enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Negeri Pahang (Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke-14) pada 22 November 2019.

"Selain berperanan untuk mempromosi daerah Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH juga antara lain turut berperanan merangsang pembangunan sosio-ekonomi, infrastruktur, kediaman dan pertanian di daerah tanah tinggi itu," katanya.

PKCH dipengerusikan Wan Rosdy dan timbalannya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Salehuddin Ishak.

Anggota PKCH terdiri lima wakil kerajaan Pahang, tiga wakil kerajaan Persekutuan dan dua wakil dalam kalangan pakar serta profesional.