X

Kindly register in order to view this article
!

Letusan White Island: Masih bahaya untuk keluarkan mayat

Jambangan bunga diletakkan berhampiran pangkalan White Island Tours di Bay of Plenty sebagai memperingati mangsa korban. - Foto AFP
A
A

WHAKATANE - Letusan gunung berapi di New Zealand yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan lapan yang dilaporkan hilang turut dianggap terkorban masih terlalu bahaya untuk pasukan keselamatan mengeluarkan mayat.

Angka kematian rasmi setakat kelmarin selepas White Island meletus meningkat kepada enam orang apabila seorang lagi mangsa meninggal dunia di hospital.

Lapan lagi mayat dipercayai masih berada di pulau berkenaan namun keadaan dilaporkan masih bahaya untuk membolehkan pasukan penyelamat termasuk ahli patologi forensik, pakar odontologi dan pakar pengenalan mangsa ke sana bagi memulakan kerja mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut letusan gunung berapi di NZ

White Island meletus: Lapan mangsa hilang dianggap terkorban

Menurut Kementerian Kesihatan, 22 mangsa yang masih dirawat di unit kebakaran di hospital di seluruh negara masih kekal berada dalam keadaan kritikal.

Menteri Polis, Stuart Nash berkata, kecederaan dialami pelancong dan pemandu pelancong sangat parah sehingga beberapa mangsa tidak dapat mengenal diri mereka.

"Ada beberapa mangsa di hospital tidak dapat berkomunikasi. Mereka bukan sahaja luka melecur pada kulit tetapi juga organ dalaman.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan beberapa agensi untuk memastikan kami membuat pengecaman dengan tepat," katanya.

Seramai 47 pelancong dan pemandu pelancong dari Australia, Malaysia, Amerika Syarikat, Britain, China, Jerman dan New Zealand berada di White Island ketika letusan berlaku.- AFP