Agong harap hubungan Malaysia-UK terus berkembang

Al-Sultan Abdullah beramah mesra dengan hadirin pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di UK semalam. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Mohamad Sadik Kethergany (dua dari kiri). - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah beramah mesra dengan hadirin pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di UK semalam. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Mohamad Sadik Kethergany (dua dari kiri). - Foto Bernama
A
A
A

LONDON - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini dalam lawatan khas ke United Kingdom (UK) berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama kira-kira 300 rakyat Malaysia, semalam.

Seri Paduka berdua turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para hadirin.

Pada majlis yang berlangsung selama tiga jam itu, Al-Sultan Abdullah semasa menyampaikan titah, menzahirkan harapan hubungan dua hala antara Malaysia dan UK akan terus berkembang maju pada masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah bertitah hubungan kedua-dua negara selama ini berjalan dengan baik antaranya kerana wujud persamaan dalam sistem pentadbiran yang bertunjangkan kepada sistem Raja Berperlembagaan.

"Beta juga difahamkan bahawa Malaysia di kedudukan nombor dua negara Asean sebagai rakan dagang terbaik UK dan UK adalah rakan dagang keempat terbaik dalam kalangan negara Eropah bagi negara kita.

"Kita perlu perkukuhkan lagi hubungan dua hala ini yang terjalin sejak sekian lama," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah (tengah) bertitah pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah (tengah) bertitah pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini pada Selasa. - Foto Bernama

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia di UK supaya menjadi warga yang baik dan sentiasa menjaga nama baik negara.

Artikel Berkaitan:

Terdapat kira-kira 75,000 rakyat Malaysia menetap dan bekerja di UK termasuk 19,000 penuntut yang melanjutkan pengajian di universiti tempatan.

Turut hadir pada majlis santapan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Mohamad Sadik Kethergany.

Pada lawatan khas itu, Seri Paduka berdua turut dijadual berangkat ke majlis santapan tengah hari yang akan dihoskan Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada Khamis.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke UK itu adalah yang keempat selepas lawatan khas Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lalu sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari. - Bernama