X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan lulus cadangan kenaikan harga program televisyen RTM

Gobind - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan cadangan kenaikan kadar bayaran kepada para pengkarya seni kreatif bagi siaran hasil karya mereka di RTM (Radio Televisyen Malaysia).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, kadar baharu itu akan dilaksanakan mulai April tahun hadapan, tertakluk kepada kualiti produk yang dikemukakan kepada pihak RTM.

Kadar kenaikan yang diluluskan mengikut kategori rancangan adalah 20 peratus sehingga 60 peratus bagi telefilem, drama bersiri (30 peratus hingga 60 peratus), dokumentari dan majalah (10 peratus hingga 30 peratus) serta animasi bersiri (30 peratus).

"Kadar harga semasa yang telah ditetapkan pada tahun 1986 tidak pernah dikaji semula selama 33 tahun.

"Setelah mendengar keluhan penggiat seni tempatan mengenai isu ini, saya telah mengemukakan cadangan kajian semula kadar harga ini melalui Jabatan Penyiaran Malaysia sebagai salah satu langkah penambahbaikan industri kreatif tempatan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Gobind berkata, dalam menentukan kadar itu RTM telah melaksanakan perbandingan dengan pihak ketiga untuk memastikan kadar ditawarkan adalah kompetetif dengan kadar pasaran semasa.

Pihaknya juga akan menambah kepelbagaian rancangan di bawah kategori tertentu seperti 'extreme gameshow' di bawah kategori 'variety show' selama 30 minit muzikal hiburan bersiri (60 minit) dan kapsul/trailer/promo (satu hingga tiga minit).

"Kementerian saya juga sedang berusaha menambah baik susunan rancangan atau ‘belting’ RTM yang sedia ada, mengkaji proses ‘pitching’ dan perolehan kandungan serta proses pemasaran RTM," katanya.

Pada 26 November lepas, Gobind memberitahu Dewan Rakyat, kementerian melalui RTM memohon agar kajian dan penelitian dilakukan terhadap bayaran kepada penerbit drama, cerekarama dan dokumentari.

Terdahulu, Gobind menghadiri pelancaran kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan syarikat global General Assembly's (GA) untuk memenuhi pertambahan permintaan bagi tenaga kerja digital di Malaysia. GA ialah sebuah entiti perniagaan yang membuka kampus di seluruh dunia untuk menunjuk ajar profesional dan usahawan perniagaan mengenai kemahiran digital praktikal.

Beliau juga menghadiri sesi taklimat bertajuk 'Bridging the Talent Gap for Digital Transformation in Malaysia ' sebagai sebahagian daripada jadual. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!