'Bila nampak bendera Malaysia, mereka tahu ada bantuan'

Shamsul Anwar (tengah) dan Raziatul Hanum ketika sesi Sinar Live bertajuk Misi Banten: Sempatkah Aku Lihat 2019?
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim akan meneruskan Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda, di Banten, Indonesia, Jumaat ini.

Ketua misi, Shamsul Anwar M Busra berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang boleh dibuat dengan melayari laman sesawang bantuankecemasan.com.

Sehingga kini, sumbangan terkumpul sebanyak RM16,690 berbanding RM50,000 sasaran Serantau Muslim.

"Rakyat Malaysia amat dikenali Indonesia sebagai rakyat yang suka membantu. Bila tengok ada bendera Malaysia, mereka tahu mesti ada bantuan.

"Begitu harum nama Malaysia ini, tidak kira dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mana sekalipun. Ini masa mereka (ditimpa musibah), kita tak tahu satu masa nanti yang mungkin dihadapi kita," katanya dalam Sinar Live bertajuk Misi Banten: Sempatkah Aku Lihat 2019? di sini, hari ini.

Ketika Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda pada 26 Disember lalu, salah sebuah kenderaan yang membawa sukarelawan misi itu kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Jakarta.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi 28 Disember lalu waktu tempatan, kenderaan dipandu sukarelawan dari Indonesia itu terbabas sebelum terbalik di kilometer 53 berdekatan Plaza Tol Serang arah Tangerang.

Kereta dari jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dinaiki Duta Serantau Muslim, Dai Afiqah; kakitangan Serantau Muslim, Fazidatul Ain Ramli; wartawan Sinar Harian, Raziatul Hanum A Rajak dan wartawan TV Alhijrah, Nur Hashimah Ismail bersama dua sukarelawan Indonesia.

Menceritakan lanjut ketika kejadian, Raziatul Hanum berkata, laungan Allahu Akbar daripada pemilik kenderaan, Asep Anwar, menyedarkannya kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Jakarta dari daerah Labuan.

"Saya dengar bunyi dentuman, sebelum kami semua terpelanting dan kereta terbalik beberapa kali. Saya sendiri tidak terfikir kami kemalangan sehinggalah Pak Asep kuat melaungkan Allahu Akbar, barulah saya tersedar kami kemalangan," katanya.

Meskipun kenderaan teruk selepas kemalangan, namun Raziatul Hanum bersyukur semua sukarelawan terlibat selamat.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyumbang ke Tabung Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda boleh melayari bantuankecemasan.com dan mengisi maklumat di laman sesawang berkenaan