Felcra agih keuntungan interim kepada 67,000 peserta Ahad ini

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Felcra akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 bagi projek penyatuan dan pemulihan (P&P) berjumlah RM50,543,739.52 kepada 67,000 peserta di seluruh negara bermula Ahad ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi agihan keuntungan interim 2/2019, Felcra memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu yang bernilai RM72,205,342.18 untuk diagihkan kepada peserta terlibat.

Katanya, baki 30 peratus lagi pula akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira sekiranya masih ada.

"Keuntungan yang diagihkan ini adalah hasil keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh Felcra. Agensi ini bertanggungjawab untuk menguruskan 217,050 hektar bagi 110,733 peserta yang merangkumi kira-kira 1,510 projek di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Azmin menambah, bayaran interim 2/2019 menunjukkan peningkatan sebanyak RM25,270,115.17 atau 50 peratus berbanding 2018 dan ia disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta sebagai tambahan bayaran dan sekali gus meringankan bebas kos sara hidup mereka.

Ujar beliau lagi, Felcra juga telah melaksanakan transformasi menyeluruh di dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

"Kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti dan seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17 peratus ketika 2018 kepada 18.31 peratus bagi tahun ini," katanya.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin menjelaskan pembangunan sektor pertanian merupakan antara tumpuan kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjana pertumbuhan baharu dan mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini merangkumi pengurusan ladang yang lebih efisien dan efektif supaya produktiviti tanah dapat ditingkatkan bagi meningkatkan pendapatan dan akhirnya menjamin keuntungan," katanya.