Sindiket judi online di Sabah tumpas, 23 warga China ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu sindiket perjudian dalam talian didalangi warga China yang dipercayai baru beberapa hari sahaja beroperasi di sini, berjaya ditumpaskan polis Sabah dalam serbuan Ahad lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dalam serbuan kira-kira jam 6.15 petang di sebuah kondominium di Penampang, dekat sini, pihaknya menahan 23 warga China berumur antara 20 dan 30 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti itu.

“Berdasarkan maklumat dan beberapa risikan, kita telah menyerbu sebuah unit rumah di kondominium berkenaan dan mendapati seramai enam lelaki sedang melakukan aktiviti berkenaan.

“Kita percaya rumah dijadikan pusat panggilan aktiviti judi berkenaan dan antara yang turut dirampas ialah 25 buah komputer riba dan 55 buah telefon bimbit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap suspek membawa kepada dua lagi serbuan berasingan di dua unit rumah kondominium berkenaan.

“Serbuan berkenaan menemukan 10 lelaki warga China sedang berehat di rumah manakala tujuh lagi warga China iaitu empat lelaki dan tiga wanita sedang berehat di sebuah lagi rumah.

“Seramai 16 orang yang ditahan mempunyai pasport manakala yang selebihnya gagal menunjukkan sebarang dokumen,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua mereka baru sahaja tiba di Sabah awal bulan ini dan dipercayai melakukan aktiviti berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kes warga China yang ditahan sebelum ini kerana menjalankan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China, Zaini berkata, kes berkenaan seakan-akan sama kerana ia melibatkan warga China dan barangan yang dirampas adalah sama.

“Namun kita mempunyai pakar dalam menentukan aktiviti apa yang mereka lakukan dan berdasarkan beberapa perkara termasuk kandungan komputer riba yang dirampas, kita percaya mereka menjalankan perjudian dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan reman sehingga 12 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama