X

Kindly register in order to view this article
!

Teknologi, media dan gelagat pengguna berkembang dengan pesat

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) ketika menjawab soalan hadirin yang hadir pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama antara Knowledgecom dan HLX di Menara HLA hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Teknologi, media dan gelagat pengguna berkembang dengan begitu pesat hinggakan syarikat menjadi lebih kreatif dalam menggunakan teknologi untuk memenuhi pertambahan kehendak setiap pengguna.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perniagaan yang ingin kekal relevan pula perlu meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan, pemprosesan dan teknologi yang berhubung dengan peralatan digital yang baharu.

“Satu daripada unsur utama bagi membolehkan era baharu ini mencangkupi teknologi tanpa wayar mudah alih yang canggih dan selari dengan aspirasi dan wawasan kerajaan, kita hendaklah melabur dan membangunkan ekonomi digital kita agar memenuhi keperluan pelabur hari ini.

“Ini sebabnya kementerian saya melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bernilai RM21.6 bilion pada 19 September tahun ini bagi menambah baik persaingan ekonomi negara menerusi kesalinghubungan dan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya semasa melancarkan Persidangan Ekonomi Digital Kaum India Malaysia kali ke-3 hari ini.

Beliau berkata, Malaysia telah lama mengiktiraf kepentingan ekonomi digital di mana pada 1996, ketika itu (dan pada masa sekarang) Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara moden dengan penerapan satu kerangka kerja yang berasaskan pengetahuan.

“Hari ini, kita berhadapan dengan satu lagi fasa dramatik dalam dunia teknologi ini yang dikenali sebagai Revolusi Industri Keempat atau IR 4.0 dengan penerobosan berterusan dalam Artificial Intelligence (AI), robotik, Internet of Things (IoT), Big Data, Virtual Reality (VR) dan seumpama,” katanya.

Dalam ucapannya, Gobind Singh berkata, dalam Belanjawan 2020, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerima peruntukan RM10 juta untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi untuk mempengaruhi e-pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka.

Sebagai tambahan, beliau berkata, MDEC juga diberi RM70 juta untuk menubuhkan 14 pusat sehenti bagi Pusat Peningkatan Digital (DEC) di semua negeri bertujuan memudahkan akses terhadap kewangan dan pembinaan-kapasiti untuk perniagaan terutama perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi meningkatkan lagi penggunaan digital, Gobind Singh berkata, kerajaan juga memperkenalkan 50 peratus peruntukan padanan melibatkan sehingga RM5,000 setiap syarikat untuk PKS yang mengguna pendigitalan.

“Tambahan RM550 juta bagi peruntukan padanan automasi pintar juga disediakan kepada 1,000 pekilang dan 1,000 syarikat perkhidmatan yang proses perniagaan mereka dilaksanakan secara auto. Peruntukan ini akan diberi berdasarkan padanan sehingga jumlah RM2 juta setiap syarikat,” tambah beliau.

Beliau berkata, kerajaan juga peka dengan keperluan dan cabaran khusus yang dihadapi oleh segmen dari komuniti India.

Bagi menyatakan komitmen itu, beliau berkata di bawah Belanjawan 2020, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) bagi menambah baik keadaan sosio-ekonomi, pembangunan kemahiran, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita dalam komuniti India.

“Saya yakin bahawa sekiranya anda semua mengambil sepenuh peluang yang ada dalam era digital ini, komuniti peniaga kaum India di Malaysia akan dapat menyumbang kepada ekonomi nasional dengan kukuh dan mampan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus