Kerani ditipu 'bakal suami' di WeChat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - Seorang kerani operasi luar pesisir mengalami kerugian RM230,000 selepas ditipu 'bakal suaminya' yang dikenali menerusi WeChat.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, wanita berusia 30 tahun itu termakan dengan kata-kata manis daripada seorang lelaki yang dikenalinya sejak 2017.

Muhamad Farid berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek seorang lelaki berumur 27 tahun dari Kuala Penyu, Sabah mendakwa dirinya seorang juruterbang AirAsia dan seorang ahli perniagaan telah berjanji akan mengahwini mangsa.

“Bagaimanapun, suspek memberitahu wanita itu dia menghadapi masalah kewangan dan memerlukan bantuan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, tanpa merasa curiga, mangsa memutuskan untuk membantu suspek dan membuat beberapa transaksi perbankan berjumlah RM230,000 ke dalam akaun suspek.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas menerima wang berkenaan, suspek memutuskan perbualan WeChat mereka membuatkan mangsa menyedari telah ditipu dan bertindak membuat laporan polis pada Ahad lepas," katanya.

Katanya, suspek kemudian berjaya ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial diketuai oleh Asisten Superintendan Haslinah Hassan dengan bantuan orang awam pada jam 2.05 petang hari yang sama di Kompleks Ujana Kewangan.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan akan didakwa di mahkamah Jumaat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: