X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Sabah pandang serius kes polio, pastikan ia tidak merebak

Mohd Shafie (tengah) dan Latheefa Koya (dua, kiri) menghadiri Bicara Integriti dan Anti Rasuah Bersama Anggota Pentadbiran Penjawat Awam Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan Sabah sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Sabah 2019 hari ini. -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri memandang serius kes polio di Sabah dan akan memastikan ia tidak merebak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jangkitan virus polio di negeri ini tidak boleh dipandang ringan.

Justeru menurutnya, beliau telah mengarahkan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah untuk mengambil tindakan bagi memastikan keadaan itu diatasi secepat mungkin.

"Saya akan mendapat laporan lengkap dan setakat ini ia telah diurus dengan baik bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.

"Menjadi harapan saya agar ibu bapa memastikan anak yang baru lahir diberikan vaksin," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Integriti dan Anti Rasuah Bersama Kerajaan Negeri Sabah di sini hari ini.

Semalam, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) Jumaat lepas.

Mohd Shafie mengingatkan ibu bapa khususnya di peringkat akar umbi supaya tidak menghindari pemberian suntikan vaksin oleh Jabatan Kesihatan kepada anak mereka. - Bernama