Agihan baja subsidi selesai dua minggu lagi: Nafas

Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi ketika menyempurnakan Pelancaran Skuad Bantuan Banjir 2019 yang berlangsung di Ibu Pejabat Nafas di sini hari ini.
Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi ketika menyempurnakan Pelancaran Skuad Bantuan Banjir 2019 yang berlangsung di Ibu Pejabat Nafas di sini hari ini.
A
A
A

KOTA DAMANSARA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menjangkakan isu agihan baja subsidi kepada pesawah untuk penanaman musim kedua selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, bermula minggu lalu, Nafas telah mula membuat pengagihan berkenaan dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) juga telah memberi kelulusan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk kontrak tambahan tersebut.

"Ia akan diselesaikan secepat mungkin dan pengagihan tersebut dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi," katanya selepas Pelancaran Skuad Bantuan Banjir 2019 yang berlangsung di Ibu Pejabat Nafas di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata, berdasarkan laporan awal diterima kira-kira 20,000 beg baja yang dihantar membabitkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan MADA Kedah/Perlis.

Menurutnya, jumlah itu tidak cukup bagi menampung permintaan seluruh 68,000 petani yang mengusahakan sawah dalam kawasan MADA dan jumlah baja yang belum dihantar adalah 1,890,000 beg.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah juga berharap MOA dapat menyelesaikan segera agihan baja subsidi di Kedah dan Perlis berikutan peruntukan bagi input pertanian kepada kementerian berjalan seperti biasa setiap tahun.

Dalam pada itu mengulas mengenai pelancaran skuad berkenaan, Phahrolrazi berkata, usaha itu adalah merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nafas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Pelancaran ini membabitkan 30 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan Nafas yang akan bergerak ke pusat pemindahan bagi mengagihkan bantuan yang diperlukan mengikut keperluan," katanya.

Tambahnya, pengurusan Nafas juga memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa terlibat melalui Jawatankuasa Banjir Peringkat Negeri dan Daerah.

"Dalam konteks bantuan ini, kita tidak hanya tumpu kepada petani tapi melibatkan seluruh masyarakat yang menjadi mangsa," katanya.