Safiey Ilias sudi mengeteh tapi...

Safiey Ilias
Safiey Ilias
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan kosmetik, Safiuddin Ilias atau lebih dikenali sebagai Safiey Ilias terbuka untuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.

Bagaimanapun Safiey meletakkan syarat agar pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan tersebut dilakukan secara tertutup tanpa liputan media atau pengetahuan orang awam.

“Saya seorang yang terbuka untuk menemui sesiapa termasuk Mufti Wilayah Persekutuan. Saya menyambut baik cara tulisan surat terbuka mufti tersebut di Facebooknya, mungkin beliau tidak tahu untuk berhubung dengan saya secara terus jadi beliau menulisnya secara terbuka begitu.

“Saya tidak ada masalah untuk bertemu dengan Mufti Wilayah, tapi dengan syarat ia dilakukan secara rahsia dan tertutup tanpa pengetahuan pihak ketiga termasuk media atau orang awam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mufti Wilayah ajak Safiey mengeteh]

“Alasannya, saya tidak mahu lepas sahaja jumpa Mufti, netizen dan orang ramai menyimpan perspektif bahawa Safiey akan bertukar imej sebagai lelaki, saya tak nak perspektif negatif itu dilemparkan sekali lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahli perniagaan transgender itu bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu pertemuannya dengan Mufti Wilayah itu dipolitikkan kerana beliau bimbang akan menerima kecaman sebagai penunggang agama ataupun strategi pemasaran untuk perniagaan produk kosmetiknya.

“Saya memang sedia untuk jumpa Mufti Wilayah, tiada masalah langsung. Cuma, saya tidak mahu pertemuan ini dijadikan modal netizen dan orang ramai mengecam saya sebagai penunggang agama atau ini akan jadi taktik pemasaran.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu saya nak pertemuan ini dilakukan secara rahsia dan tertutup. Saya faham niat Mufti Wilayah itu baik, tapi saya tak mahu tertekan dengan kecaman netizen,” ujarnya.

Sebelum ini, Safiey ada berkongsi gambar seksinya di Instagramnya sehingga mendapat pelbagai reaksi pelbagai pihak termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan.

Susulan itu, Zulkifli pada Jumaat lalu turut sama berkongsi pandangannya malah menulis surat terbuka kepada Safiey.

Malah, beliau turut mengajak Safiey untuk duduk ‘mengeteh’ dan berbincang secara santai berhubung beberapa perkara demi kebaikan semua pihak.

“Kami menerima beberapa keping gambar saudara yang ditularkan beberapa hari lepas. Sejujurnya, saya tidak pasti sama ada ianya benar ataupun tidak. Apapun, anggaplah surat terbuka ini sebagai satu luahan yang jujur, penuh kasih sayang daripada seorang saudara Muslim kepada saudaranya yang lain.

“Hati saya terdetik untuk menyampaikan surat terbuka kepada saudara Safiey Ilias walaupun sebelum ini sudah ada niat untuk berjumpa tetapi saya merasakan perlunya sebuah perkongsian dengan saudara dalam memahami haqiqat al-hayah,” kata mufti menerusi catatan Qalam Mufti: Safiey, Jom Mengeteh!.