Fahaman ekstremisme terus menular, platform dalam talian jadi saluran rekrut remaja

KUALA LUMPUR - Fahaman ekstremisme dan ajaran sesat dijangka terus wujud dalam masyarakat meskipun kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS) dan al-Qaeda tidak lagi berada pada tahap pengaruh seperti sebelum ini.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, fahaman yang dibawa kumpulan terbabit masih wujud, termasuk menerusi kegiatan merekrut golongan remaja secara dalam talian.
Menurutnya, tindakan pencegahan diambil bagi menyekat percubaan merekrut golongan remaja yang dilakukan menerusi platform permainan dalam talian.
Katanya, permainan dalam talian seperti Roblox dipercayai digunakan sebagai saluran untuk mendekati dan merekrut golongan remaja sebelum membawa mereka menyertai kumpulan komunikasi tertutup bagi menyebarkan fahaman ekstremisme.
"Di situ dia akan ada channel squad dan akan masuk dalam kumpulan berasingan. Dalam kumpulan itulah mereka diasuh, didik untuk melancarkan serangan-serangan keganasan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Konvensyen Perdana Ceramah Maulidur Rasul 2026 Siri Ke-6 di Dewan Matrade di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ayob Khan mengambil contoh serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2024 yang melibatkan seorang remaja berusia 21 tahun yang terpengaruh dengan fahaman lone wolf jihad.
Beliau menjelaskan, fahaman itu menyebabkan individu terbabit percaya bahawa darah anggota polis, tentera, pegawai kerajaan atau mereka yang tidak mengikut fahaman tersebut adalah halal untuk dibunuh.
"Lebih membimbangkan, semasa perbicaraan, ibu bapa remaja berkenaan memberi keterangan dan bangga menyatakan anak mereka mati syahid kerana membunuh polis.
"Fahaman seperti ini akan berada kat kita sampai hari kiamat," katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran undang-undang dalam menangani penyebaran fahaman sesat dan ekstremisme.
Menurutnya, ketiadaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyebabkan pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk memaksa individu terbabit menghadiri program pemulihan.
"Sebab bila kita nak panggil mereka buat program pemulihan tak boleh, tidak ada satu undang-undang di Malaysia yang boleh memaksa mereka datang untuk program pemulihan. Mereka datang dengan sukarela, kalau tak datang tak boleh.
"Kena ingat, ya, kalaulah undang-undang tak ada, ISA dah tak ada, ni Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pun tak ada, negara kita akan jadi lebih huru-hara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
