X

Kindly register in order to view this article
!

Sedia wujud kawasan pembangunan perikanan dua negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media khas, semalam
A
A

JAKARTA - Malaysia dan Indonesia pada asasnya bersetuju untuk mewujudkan kawasan pembangunan bersama industri perikanan di kawasan pertindihan perairan kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kawasan pertindihan perairan itu sering menjadi isu berkaitan dakwaan pencerobohan nelayan serta isu berkaitan perikanan dan laut.

"Konsep 'join development area’ (atau) kawasan pembangunan bersama industri perikanan pada asasnya dipersetujui (Edhy Prabowo) bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan yang berlaku di kawasan itu," katanya kepada pemberita dalam program lawatan kerjanya ke Indonesia hari ini.

Muhyiddin sebelum itu mengadakan pertemuan membincangkan isu berkaitan bersama Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Edhy Prabowo di sini.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga bakal memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) berkaitan isu itu yang pernah ditandatangani pada tahun 2012, untuk diperbaharui semula MoU itu pada tahun hadapan.

Muhyiddin menegaskan isu-isu berkaitan dakwaan nelayan menceroboh perlu ditangani dengan lebih efisyen bagi menjaga hubungan baik kedua-dua negara.

Edhy Prabowo yang baharu dilantik menganggotai kabinet Presiden Indonesia Joko Widodo bagi penggal 2019-2024, sebelum ini menegaskan Indonesia tidak lagi mengambil tindakan menenggelam atau membakar bot nelayan asing yang ditahan atas dakwaan menceroboh.

Mengulas polisi baharu Indonesia itu, Muhyiddin berkata ia satu perkembangan positif dalam mengukuhkan jalinan hubungan baik antara kerajaan kedua-dua negara dan hubungan baik antara semua pihak melibatkan kedua-dua negara.

Bot atau kapal nelayan yang ditahan atas dakwaan menceroboh kawasan perairan sentiasa menjadi isu di Malaysia, dan dilaporkan sejak 2018 sahaja 23 bot dan kapal nelayan milik Malaysia ditahan atas dakwaan menceroboh. - Bernama