Rokok seludup RM1.5 juta dirampas

Kinsi (dua, kanan) menunjukkan rokok yang dirampas pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1,453,500 dalam Op Libas di sebuah gudang di Batu Kitang. Foto: Bernama
Kinsi (dua, kanan) menunjukkan rokok yang dirampas pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1,453,500 dalam Op Libas di sebuah gudang di Batu Kitang. Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas rokok pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1,453,500 dalam Op Libas yang dijalankan di sebuah gudang di Batu Kitang semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 11, Deputi Superintendan Kinsi Bilu berkata, bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh seramai enam pegawai dan anggota dari Unit Risikan Batalion 11 serta dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu gudang terbabit pada jam 2 petang.

“Ketika serbuan, gudang itu berada dalam keadaan berkunci, pasukan risikan yang disertai pegawai SPRM terpaksa menunggu selama setengah jam sebelum bertindak memotong mangga dan kunci gudang tersebut untuk masuk ke dalam.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 7,650 karton rokok pelbagai jenis disembunyikan di dalam gudang tersebut berjaya ditemui dan disyaki belum lulus kastam. Kami mengesyaki pemilik atau penjaga premis berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa semasa serbuan dilakukan,” katanya pada sidang akhbar di ibu Pejabat PGA Batalion 11 di Batu Kawa, di sini hari ini.

Kinsi berkata, rokok tersebut dipercayai diseludup dari negara jiran dipasarkan di pasaran tempatan dan kes diserahkan kepada pihak Ibu pejabat Polis Daerah Padawan untuk disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

PGA Sarawak melakukan sebanyak 54 rampasan yang melibat jumlah keseluruhan rampasan barangan bernilai RM9.4 juta manakala 14 individu telah ditahan dari Januari sehingga 8 Disember tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: