X

Kindly register in order to view this article
!

Kebaya nyonya tidak ditelan zaman

EZRIZIKRI menunjukkan antara koleksi baju kebaya nyonya yang dijual di butik miliknya, Toko Ce Rose.
A
A

EMMY Sahar, 62, sedang tekun melakar lukisan corak sulaman di atas helaian kertas minyak. Tiba-tiba tangannya berhenti seketika dek terkenangkan memori manis dikendong ibunya pada usia dua tahun.

Pada tempoh tersebut, arwah ibunya, Roslalainy Marhum adalah orang yang paling gembira kerana berjaya membuka sebuah butik menjahit busana tradisional kebaya nyonya di Jalan Laksamana sekitar tahun 1959.

Berbekalkan kudrat dimiliki, arwah ibunya bersengkang mata menyiapkan tempahan baju kebaya nyonya yang dicaj RM5 sepasang.

Walaupun sudah 60 tahun berlalu, namun, memori zaman kanak-kanak Emmy masih segar di ingatan, lebih-lebih lagi imbasan tatkala bermain dengan tiga adiknya di dalam butik yang diberikan nama Butik Toko Ce Rose.

Jika penat bermain Emmy duduk bersandar di sebelah Roslalainy. Beliau memerhatikan ketekunan, kegigihan dan ketelitian ibunya melukis corak sulaman motif flora dan fauna untuk dijadikan sepasang kebaya nyonya.

Bagi Emmy, kebaya nyonya sering mendapat tempat dalam hati pelbagai kaum di negara ini kerana pakaian peranakan Cina itu membuatkan penampilan pemakai tampak klasik dan ayu. Apatah lagi, dipadankan bersama kain batik sarung dan aksesori untuk melengkapkan gaya.

"Walaupun Melayu, Cina, India, Portugis dan Malabar mempunyai pakaian tradisional masing-masing, namun kebaya nyonya tetap menjadi pilihan. Ini disebabkan busana ini selesa dipakai bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi ketika menghadiri majlis rasmi termasuk perkahwinan, pertunangan, makan malam dan dijadikan pakaian harian.

"Ia secara tidak langsung membuktikan kebaya nyonya adalah simbol perpaduan dan kesaksamaan. Semua wanita tanpa mengira kaum boleh memakainya," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Emmy berkata, beliau bersama anak bongsunya Ezrizikri Kamarazaman, 31, dengan bantuan kira-kira 60 pekerja tukang jahit menghasilkan lebih 100 corak sulaman bermotifkan flora, fauna, geometri dan abstrak buat penggemar busana tradisional itu baik dari dalam mahupun luar negara.

Menurut Emmy seawal usia dua tahun lagi beliau didedahkan dengan budaya Baba Nyonya. Ia berikutan jiran-jiran di sekeliling rumah arwah ibu dan neneknya di sekitar Bandar Hilir, Melaka merupakan komuniti peranakan Cina yang fasih bertutur bahasa dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

"Ramai rakan arwah ibu merupakan Baba Nyonya. Ketika usia arwah ibu 23 tahun, beliau menerima tempahan menjahit pakaian lelaki dan wanita komuniti itu bermula dengan rakan-rakan terdekat dan berkembang kerana ramai berpuas hati dengan hasil jahitannya," katanya.

Minat seni sulaman

Emmy seorang ibu tunggal memberitahu, sulaman pada baju kebaya Nyonya yang ditawarkan di butik berusia enam dekad tersebut dihasilkan secara manual menggunakan jahitan tangan bagi menghasilkan sulaman yang kemas, teliti dan berkualiti.

"Sejak kecil, saya diajar oleh arwah ibu untuk melukis corak sulaman kebaya nyonya. Ilmu itu saya sampaikan pula kepada tiga anak agar seni warisan itu dapat disampaikan pula kepada generasi seterusnya. Rugilah jika seni kemahiran itu tidak diwarisi.

"Oleh kerana minat mendalam terhadap pakaian ini, ketika umur belasan tahun, saya mula membantu arwah ibu mengambil tempahan sedikit demi sedikit. Saya mula belajar menjahit seni sulam biku dan dari sulam biku bertambah kepada sulaman motif dan sulaman kerawang," katanya.

Menurut beliau, selain kebaya nyonya sulaman menggunakan tangan, butiknya juga menghasilkan kebaya nyonya sulaman menggunakan mesin elektrik. Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu kebaya nyonya menggunakan kain kasa rubia Jepun atau swiss voil.

"Jika corak menggunakan sulaman manual, ia akan disiapkan dalam tempoh antara enam hingga lapan bulan, manakala sulaman menggunakan mesin elektrik, boleh disempurnakan dalam tempoh seminggu. Harganya pula adalah antara RM100 dan RM300 atau RM1,000 dan RM4,500," katanya.

"Kebaya nyonya yang disulam menggunakan mesin elektrik siap dalam tempoh singkat kerana ia hanya menggunakan tiga warna benang berbanding sulaman secara manual yang menggunakan kira-kira 24 warna benang yang akan ditukar-tukar bagi menghasilkan corak yang nampak lebih hidup," jelas Emmy.

Menurutnya, Butik Toko Ce Rose menyasarkan jualan sebanyak RM100,000 pada penghujung tahun ini selain bercadang untuk meluaskan perniagaan kasut manik nyonya dalam masa terdekat.

EMMY (kanan) dan Ezrizikri (tengah) menerangkan corak sulaman kebaya nyonya kepada pengunjung Butik Toko Ce Rose, Bandar Hilir, Melaka.
EMMY (kanan) dan Ezrizikri (tengah) menerangkan corak sulaman kebaya nyonya kepada pengunjung Butik Toko Ce Rose, Bandar Hilir, Melaka.

Generasi ketiga mewarisi

Bicara Emmy, tiga anaknya tidak hanya diajar melukis corak sulaman. Sebaliknya langkah demi langkah diperturunkan kepada mereka termasuk menjahit corak sulaman menggunakan pemidang kayu atau ram, sehinggalah menjadi sepasang baju kebaya nyonya.

"Jadi setiap tahun saya dan anak-anak akan bersama-sama menyediakan corak sulaman tersebut di helaian kertas minyak bersaiz A4 sebelum dilukis pada kain kasa rubia untuk dijadikan kebaya nyonya. Dari masa ke masa saya sekeluarga perlu memastikan corak itu adalah berbeza antara satu sama lain," katanya.

Ezrizikri yang berkecimpung dengan penghasilan corak sulaman sejak berusia 10 tahun adalah generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan kebaya nyonya bersama ibunya selain dibantu oleh kakaknya Ezriawiwin, 39, dan abangnya Ezwandi, 35.

Katanya dia berasa amat bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mahir melukis corak sulaman dan menjahit kebaya nyonya kerana dapat mewarisi seni sulaman yang hampir pupus kerana ramai tidak mempunyai ilmu menjahit sulaman.

"Insya-ALLAH, ilmu ini saya akan perturunkan kepada anak dan seterusnya kepada cucu supaya tidak lenyap ditelan zaman dan arus pemodenan. Walaupun sekiranya mereka tidak berminat, bakat mereka tetap perlu diasah agar legasi kami dapat diteruskan," kata Ezrizikri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Elektronik) dari Universiti Teknologi Malaysia.

Butik Toko Ce Rose

-Nama butik merupakan panggilan mesra Roslalainy dalam kalangan rakan-rakan.

-Para pelanggan terdiri daripada masyarakat Baba Nyonya, Cina, India, Portugis dan Chetti/Malabar.

-Selain Malaysia, Butik Toko Ce Rose juga menerima tempahan dari China, Singapura, Indonesia, Brunei dan Jepun serta Los Angeles, Amerika Syarikat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus