Guan Eng gesa laporan polis ke atas Omar Faudzar

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa satu laporan polis dibuat ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Omar Faudzar yang menuduh DAP membawa pengundi hantu dari China.

Guan Eng berkata, ucapan perbahasan Omar sebagai Perwakilan UMNO Pulau Pinang pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam berniat jahat dengan memainkan sentimen perkauman.

Menurutnya, DAP sebuah parti yang berpegang prinsip kepada demokrasi dan menentang sekerasnya perkara yang bertentangan dengan perlembagaan.

"(Tuduhan) Itu jahat sekali hasut rakyat untuk rakyat saling benci membenci, ini palsu saya minta seluruh negara buat laporan polis ke atas orang jahat (Omar).

"DAP tak akan buat jahat, tindakan akan diambil jika ada ahli bertindak demikian. Ini permainan perkauman yang jahat sebagai menghalang DAP berkhidmat mewakili suara rakyat berbilang kaum," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di ibu pejabat DAP Kebangsaan Jalan Yew di sini hari ini.

Pada konvensyen itu, Guan Eng turut menerima kejutan kek harijadi sempena hari lahir yang ke-59 hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu meminta Omar menunjukkan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut atau berdepan tindakan kerana fitnah.

Artikel Berkaitan:

"Mana ada DAP buat kerja macam itu. Dia boleh kata pengundi di Pulau Pinang adalah 3,000 pengundi Cina dan 1,000 lagi Melayu, itu tidak tepat dan tidak sepadan dengan realiti, jadi kita minta kemuka bukti.

"Kalau nak sebut pasal pengalihan pengundi oleh pihak BN, kita boleh tunjuk bukti pada PRU14 di mana pengundi Melayu dari Bagan dipindahkan ke Nibong Tebal selepas PRU ramai pengundi pindah semula ke Bagan.

"Tuduhan ini berniat jahat sengaja mainkan sentimen perkauman sedangkan tidak pernah berlaku, jika gagal tunjuk bukti dia perlu dikenakan tindakan kerana memainkan sentimen perkauman yang membahayakan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP Pulau Pinang gesa Omar disiasat

Guan Eng turut menjawab dakwaan Omar yang DAP terlibat menjual syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyusahkan Melayu.

"GLC di bawah Khazanah Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bukan di bawah saya. Saya juga bukan ahli lembaga Khazanah Nasional, macam mana saya terbabit?

"Rupa-rupanya mereka nak cari saya supaya boleh mainkan sentimen perkauman, 'semua salah saya', walaupun perkara itu tiada kaitan dengan kementerian saya," katanya.

Terdahulu, Omar ketika sesi perbahasan di PAU 2019 semalam mendakwa sejumlah 95 peratus warga China dan India masuk ke Malaysia didakwa tiada rekod keluar dari negara ini.

"Baru-baru ini isu dapat kad pengenalan biru. Saya suruh kawan semak ada warga China dapat kad pengenalan biru rupanya dah daftar mengundi di Selangor...tiba-tiba pagi tadi saya semak balik nama dia dah hilang dalam rekod SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya.