Daun ketum bernilai RM428,700 dirampas

19 guni putih berisi 570kg daun ketum bernilai RM85,500 serta 20 plastik hitam mengandungi 330kg daun ketum bernilai RM49, 500 di Kampung Kolam.
19 guni putih berisi 570kg daun ketum bernilai RM85,500 serta 20 plastik hitam mengandungi 330kg daun ketum bernilai RM49, 500 di Kampung Kolam.
A
A
A

PADANG BESAR - Daun ketum bernilai RM428,700 dengan anggaran berat 2,858 kilogram (kg) dirampas dalam enam serbuan Op Wawasan Kedah/Perlis yang diadakan di sekitar Padang Besar selama tiga hari bermula Selasa lalu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian di kawasan ladang getah Felda Mata Ayer, pihaknya merampas 510kg daun ketum bernilai RM76,500 yang disumbat dalam 14 guni putih.

Menurutnya, penemuan itu adalah setelah pihaknya memeriksa sebuah pondok dalam ladang berkenaan bagaimanapun setelah membuat intipan hampir sejam tiada individu tampil di lokasi untuk mengambil barang tersebut.

“Bagi kes kedua, anggota PGA terserempak dengan sebuah Toyota Harrier berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan kebun getah Felcra Lubuk Sireh. Hasil pemeriksaan menjumpai 17 guni putih mengandungi daun ketum,” katanya.

Abdul Ghani berkata, suspek berusia 24 tahun yang juga penganggur ditahan untuk siasatan lanjut bersama 510kg daun ketum dengan anggaran nilai RM76,500.

“Kes ketiga melibatkan 700kg daun ketum yang diisi dalam 42 bungkusan plastik hitam, dianggarkan bernilai RM105,000 di Hutan Simpan Jati Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit. Bungkusan itu ditemui di bawah rumpun pokok buluh, tiada tangkapan dilakukan susulan tiada individu datang untuk mengambil bungkusan itu selepas sejam intipan,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian berasingan di kawasan parkir Arkid Niaga Padang Besar, anggota PGA terserempak dengan sekumpulan lelaki sekitar jam 10 malam, disyaki melakukan aktiviti penyeludupan daun ketum.

“Apabila anggota memperkenalkan diri, kumpulan itu melarikan diri. Hasil pemeriksaan menjumpai satu guni putih mengandungi 28kg daun ketum bernilai RM4,200. Sebuah motosikal nombor pendaftaran Thailand turut dirampas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghani berkata, hasil pemantauan di sebuah pondok tidak beralamat di Lorong Teratai 6, Kampung Kolam, pihaknya menjumpai 19 guni putih berisi 570kg daun ketum bernilai RM85,500 serta 20 plastik hitam mengandungi 330kg daun ketum bernilai RM49,500.

“Kes terakhir membabitkan sekumpulan lelaki menunggang motosikal melintasi laluan keselamatan menghala ke Thailand. Anggota PGA mengejar dan berjaya menahan seorang suspek dipercayai penyeludup manakala selebihnya berjaya meloloskan diri ke arah ladang getah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai tujuh guni putih mengandungi daun ketum bersama empat buah motosikal yang disyaki digunakan bagi tujuan penyeludupan ke Thailand.

“Nilai rampasan daun ketum seberat 210kg itu mencecah RM31,500,” katanya.