Amanah tak jaga hati wanita: Dr Mariah

AJK Pimpinan Nasional Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
AJK Pimpinan Nasional Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Siti Mariah Mahmud menegur sikap kepimpinan serta ahli parti yang disifatkan sebagai tidak pandai menjaga hati wanita.

Bekas Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) itu berkata, kepekaan gender dalam parti dilihat belum menyeluruh sehingga menyebabkan jasa serta kedudukan ahli wanita seolah-olah tidak penting dan dipinggirkan dalam parti.

Menurutnya, jelas apabila pada Konvensyen Nasional Amanah kali ini, ada kawasan-kawasan tertentu yang langsung tiada wakil wanita.

"Parti cakap kasih kepada wanita, hargai wanita yang bertungkus-lumus bantu parti tapi apabila soal beri penghormatan kepada wanita untuk jadi perwakilan, kami diminta tunggu dulu.

"Jika diikutkan, kerja di kawasan lebih banyak dilakukan wanita berbanding lelaki yang lebih suka 'mengeteh'...yang pergi rumah ke rumah, pintu ke pintu semua wanita dan lelaki hanya jadi pengawal keselamatan," katanya.

Adun Seri Serdang itu berkata, wanita tidak dibenarkan datang ke konvensyen dan semuanya diambil oleh lelaki.

"Kata nak jaga hati semua tapi tak jaga hati wanita.

"Jangan sampai kami minta supaya ada dalam perlembagaan klausa-klausa yang mewajibkan majikan itu letak wanita kerana 'common sense' itu tidak ada," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Ucapan panas Mariah itu turut mendapat 'standing ovation' serta tepukan gemuruh daripada semua perwakilan dan pimpinan parti.

Dalam pada itu, Mariah turut mengingatkan pegawai lantikan politik untuk menjaga integriti serta tidak bersikap tamak dengan jawatan dipegang.

"Setakat satu cukup, ramai lagi berkebolehan beri peluang kepada mereka, jangan melobi kepimpinan.

"Saya tak boleh setuju, jika mereka pegang jawatan pengarah sana, pengarah sini...saya juga tahu siapa yang pegang banyak jawatan, tariklah diri beri peluang pada yang lain," katanya.

Katanya, beliau juga akan mengusulkan agar kepimpinan dan ahli mendaftarkan jawatan sebagai lantikan politik kepada parti.