Amanah dakwa ada pihak ketiga cuba ambil alih FGV

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Mazlan Aliman.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Mazlan Aliman.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa terdapat gerakan dan usaha pihak ketiga untuk mengambil alih kepentingan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) daripada pentadbiran Felda dalam masa terdekat.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya menerima maklumat pihak ketiga itu sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya turut difahamkan satu pertemuan di antara Ahli Lembaga Pengarah Felda dengan Dr Mahathir akan diadakan esok bagi membincangkan cadangan pihak ketiga terbabit untuk mengambil alih kepentingan syarikat FGV.

"Berikutan itu, saya sudah menulis surat kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Bakke Salleh bagi meminta beliau mempertahankan aset-aset FGV diselia syarikat berkaitan kerajaan itu daripada dilepaskan kepada pihak ketiga berkenaan.

"Saya juga merayu kerajaan pimpinan Dr Mahathir jangan sesekali membenarkan pihak ketiga untu ambil alih kepentingan FGV sebaliknya menyegerakan usaha mengembalikan aset-aset FGV kepada Felda demi kepentingan peneroka," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita memetik sumber melaporkan pihak ketiga itu mempunyai pelan menguasai FGV dengan membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat gergasi perladangan itu.

Ketika ini, Felda menguasai saham majoriti iaitu 33.6 peratus melalui pegangan terus sebanyak 12.2 peratus serta Felda Aset Holdings sebanyak 12.4 peratus yang berfungsi sebagai sumber dana bagi membiayai dan membantu peneroka.

Mazlan yang juga Ahli Lembaga Penasihat Felda berkata, sekiranya gerakan terancang pihak ketiga berkenaan berjaya, kerajaan PH pastinya akan dituduh sebagai pengkhianat rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan PH juga akan menerima akibat sangat buruk pada pilihan raya umum ke15 (PRU15) kerana undi peneroka dan masyarakat kawasan Felda adalah penyumbang terbesar kepada kemenangan PH pada PRU14.

"Suka saya hendak mengingatkan bagaimana kita bekerja keras mendapatkan sokongan masyarakat Felda seluruh negara susulan tindakan kerajaan terdahulu menyenaraikan aset-aset FGV ke dalam senarai bursa saham.

"Atas nama PH, pengundi Felda berjaya membantu memenangkan 19 kerusi Parlimen daripada 54 Parlimen kawasan Felda untuk kita dan undi mereka penyumbang terbesar membantu kemenangan PH pada PRU14.

"Justeru, kalau gerakan pihak ketiga berjaya, kerajaan PH akan dituduh sebagai pengkhianat dan kita akan terima akibat sangat buruk pada PRU akan datang," katanya,