Tze Liang dalam kelas tersendiri

Aksi bertenaga Tze Liang pada acara 3 meter papan anjal individu lelaki di Pusat Akuatik New Clark City hari ini.
Aksi bertenaga Tze Liang pada acara 3 meter papan anjal individu lelaki di Pusat Akuatik New Clark City hari ini.
A
A
A

PENERJUN elit negara, Ooi Tze Liang terus mempamerkan aksi cemerlang di Pusat Akuatik New Clark City untuk meraih pingat emas ke-11 beliau dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki pada Sukan SEA Filipina 2019 di sini hari ini.

Penerjun berumur 26 tahun yang memperoleh pingat emas bersama dengan Chew Yiwei dalam acara terjun seirama semalam mengumpul 454.60 mata selepas enam pusingan sekali gus menyaksikan beliau mempertahankan pingat emas dimenanginya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tambah membanggakan, rakan sepasukannya, Mohd Syafiq Puteh memperoleh pingat perak selepas mengumpul 402.50 mata manakala pingat gangsa menjadi milik Mark Lee Han Ming dari Singapura.

Sebelum ini, Tze Liang pernah memenangi sembilan pingat emas iaitu tiga dalam edisi 2013 di Myanmar, empat pada tahun 2017 di Singapura dan dua pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pemenang dua pingat perak Sukan Asia itu juga pernah memenangi satu perak acara lelaki 10m platform individu semasa penampilan sulungnya dalam edisi 2011 di Indonesia.

"Secara keseluruhan prestasi saya di Sukan SEA tahun ini sekadar sederhana. Saya tidak membuat persiapan sewajarnya kerana mendapat panggilan di saat-saat akhir daripada jurulatih untuk beraksi dalam Sukan SEA.

"Selepas tidak mengambil bahagian dalam Piala Asia 2019 September lepas (akibat kecederaan), saya telah meletakkan sasaran untuk membaiki terjunan sebelum ke Kejohanan Piala Dunia Terjunan Fina 2020, yang merupakan kejohanan kelayakan terakhir untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Muhd Syafiq pula terpaksa berpuas hati meraih pingat perak dalam acara berkenaan walaupun pernah meraih emas bersama penerjun wanita negara, Jasmine Lai Pui Yee dalam acara 3 meter papan anjal seirama pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya beraksi satu acara kerana tuan rumah tidak mempertandingkan acara campuran, tetapi alhamdulillah saya berpuas hati terutama dengan catatan 402.50 yang merupakan peningkatan ketara selepas Kejohanan Terjun Grand Prix FINA 2019 di Australia awal bulan ini," jelas penerjun berusia 24 tahun itu. - Bernama