Kempunan pingat emas, Weng Son sudah tawar hati

Weng Son ketika beraksi dalam acara Jianshu Qiangshu akhir pada Sukan SEA 2023.
Weng Son ketika beraksi dalam acara Jianshu Qiangshu akhir pada Sukan SEA 2023.
A
A
A

SUKAN SEA 2023 mungkin menjadi penampilan terakhir buat atlet wushu kebangsaan Wong Weng Son di temasya sukan dwitahunan itu selepas kempunan memenangi pingat emas yang amat diinginkan.

Juara dunia 2017 dalam acara jianshu itu mengakui kegagalan untuk menghadiahkan emas buat Malaysia selepas berusaha bersungguh-sungguh sepanjang lima edisi menyebabkannya mula tawar hati untuk terus bersaing di Sukan SEA.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan kegagalan pada pertandingan pertamanya sejak pandemik Covid-19 itu terbalas dengan kilauan emas di pentas temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, masing-masing dijadual pada September dan November depan.

"Memang ada rasa tawar hati, saya bertanya diri sendiri mengapa tak dapat emas dan masih perak? Adakah itu takdir Tuhan?

"Jika ini takdir Tuhan saya terima. Saya tidak akan berputus asa kerana tahun ini masih ada Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, harap-harap saya boleh dapatkan emas lagi di sana,” katanya.

Selepas bertanding dalam lima edisi Sukan SEA bermula di Myanmar pada 2013, hasrat Weng Son untuk menikmati emas pertamanya tidak kesampaian apabila menamatkan final acara Taolu lelaki yang menggabungkan disiplin qiangshu dan jianshu di tempat kedua.

Weng Son yang mengumpul keseluruhan 19.103 mata terpaksa akur tewas kepada atlet Indonesia Muhammad Daffa Golden Boy yang merangkul emas dengan mengumpul 19.326 mata manakala gangsa milik Sandrex Navida Gainsan dari Filipina (18.926 mata).

"Saya tidak rasa terkilan cuma kesedihan itu memang ada kerana ini Sukan SEA kelima saya dan pingat perak keempat untuk saya, saya memang harapkan untuk dapatkan emas tapi nasib saya bukan hari ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau mempunyai perancangan untuk bersara, beliau berkata perkara itu dalam pertimbangannya dan akan diputuskan selepas Sukan Asia dan Kejohanan Dunia tahun ini.

Beliau berkata walaupun sudah mencecah usia 31 tahun, keadaan tubuhnya masih kuat untuk bertanding, namun hanya semangat menjadi perbezaan.

"Memang badan saya boleh pergi lagi tetapi saya perlu ada semangat sebab dalam situasi sekarang yang tiada pingat emas ia membuatkan saya rasa down,” kata atlet kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Dalam pada itu, kem wushu turut meraih satu gangsa pada hari kedua saingan menerusi Pang Pui Yee dalam acara Taolu wanita yang menggabungkan disiplin jianshu dan qiangshu selepas mengumpul mata keseluruhan 18.246.

Pingat emas disambar atlet Vietnam Duong Thuy Vi yang meraih 19.229 mata sementara perak menjadi milik Sandy Oo dari Myanmar yang mengumpul 19.086 mata.- Bernama