Ada cubaan tolak pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967

Sivanesan menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-9 Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (Kepaim) di sebuah hotel di sini hari ini.
Sivanesan menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-9 Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (Kepaim) di sebuah hotel di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 8 Oktober lalu sedang cuba digagalkan untuk dilaksanakan oleh pihak tertentu menjelang bacaan kali ketiga di Dewan Negara.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan mendakwa terdapat pihak tertentu yang sedang melobi senator pembangkang untuk menolak pelaksanaan pindaan tersebut.

Menurutnya, terdapat 32 pindaan telah dicadangkan oleh Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran di dalam APP 1967 dan 18 daripada pindaan itu membabitkan golongan pekerja.

"Ada segelintir pemimpin kesatuan membantah pindaan ini di peringkat Dewan Negara. Dewan Rakyat telah luluskan semua pindaan. Tetapi mereka sedang lobi senator pembangkang supaya menolak pindaan ini.

"Ini adalah satu kerja pengkhianatan. Saya harap demi kebaikan 12.7 juta pekerja, senator pembangkang harus menyokong pindaan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-9 Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (Kepaim) di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama pada pada majlis tersebut, Presiden Kepaim, Ismail Yahya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Kementerian Sumber Manusia tidak mengadakan perbincangan secara terperinci dalam kajian pembaharuan undang-undang perburuhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kula Segaran nafi dakwaan tak rujuk MTUC

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon berkata, tindakan kementerian itu membentangkan pindaan APP 1967 tanpa berunding dengan kesatuan amat dikesali.

Bagaimanapun, Kula Segaran menafikan pihaknya tidak pernah merujuk kepada MTUC sebelum pindaan itu dibentangkan di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, kementeriannya sudah mengadakan sembilan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) pada tahun ini dan pelbagai mesyuarat jawatankuasa teknikal sejak Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan meminta isu membabitkan perjanjian di antara majikan dengan Kepaim diselesaikan segera sebelum akhir bulan ini.

Katanya, laporan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah dimaklumkan mengenai isu tersebut dan pihaknya akan memastikan kes diselesaikan segera.

"Saya selaku Exco sumber manusia akan memastikan bahawa JPP bertindak dengan segera untuk menyelesaikan perbincangan ini. Tetapi majikan harus faham kalau mereka lewatkan perbincangan, itu tidak bermakna majikan boleh lari daripada perjanjian ini.

"Jadi sepatutnya pada 1 Januari 2020 mereka harus dapat gaji dan terma-terma perkhidmatan baharu tetapi kalau perbincangan ini ditarik sehingga tahun hadapan, majikan perlu membayar tak boleh larikan diri," katanya.

Beliau berkata, sekiranya isu tersebut tidak dapat diselesaikan oleh JPP, Menteri Sumber Manusia harus merujuk kes tersebut kepada Mahkamah Perusahaan untuk menentukan penyelesaian.