X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir di Kelantan, Terengganu makin pulih

Kelihatan tembok simen yang dibina oleh kerajaan Thailand di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang didakwa mendatangkan kebimbangan besar kepada penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok. -Foto Bernama
A
A

KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pagi ini dilihat semakin berkurangan manakala di Terengganu khususnya daerah Dungun dan Kemaman pula dijangka berdepan risiko gelombang baharu banjir akibat hujan lebat hari ini dan esok.

Di Kelantan, jumlah keseluruhan mangsa banjir susut kepada 4,768 orang melibatkan 1,841 keluarga setakat jam 8 pagi ini iaitu berkurangan berbanding 4,781 mangsa (1,848 keluarga) malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan jumlah itu membabitkan 2,544 orang (1,048 keluarga) di tujuh PPS Pasir Mas sementara di Tumpat terdapat 2,224 mangsa (793 keluarga) ditempatkan di tujuh PPS.

Hujan renyai-renyai masih berterusan di sesetengah tempat dan sehingga kini seramai tiga orang terkorban akibat banjir di Kelantan.

Di TERENGGANU, situasi sama dilihat di beberapa daerah dengan 66 orang daripada 16 keluarga di dua PPS di Kuala Nerus pagi ini berbanding 69 mangsa daripada 17 keluarga malam tadi.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, tiga sekeluarga telah pulang ke rumah mereka menjadikan jumlah mangsa di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong berkurangan kepada 19 orang (tiga keluarga) pagi ini berbanding 22 orang (empat keluarga) malam tadi.

"Jumlah mangsa banjir di SK Kampung Gemuruh pula kekal seramai 47 mangsa (13 keluarga). Rumah mereka yang terletak berhampiran sungai masih ditenggelami air kerana banjir agak lambat surut," katanya.

Walaupun banjir sudah hampir pulih sepenuhnya di Terengganu, penduduk masih perlu berjaga-jaga berikutan amaran waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia iaitu hujan lebat di Dungun dan Kemaman bermula hari ini hingga esok.

Che Adam berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah lain berisiko dilanda banjir.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan semua stesen bacaan air sungai di Terengganu berada di paras normal pagi ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus