X

Kindly register in order to view this article
!

GMP gesa MB tak mengalah isu tanah kampung baharu

Norali Nordin
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak mengalah dan tunduk dengan tuntutan hak milik kekal tanah kampung baharu.

Timbalan Presidennya, Norali Nordin berkata, tuntutan tersebut jelas melanggari serta mencabul semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Majlis Tanah Negara ditubuhkan menurut perlembagaan dan pencabulan ke atas sebarang ketetapan adalah jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak yang juga merupakan ahli Exco kerajaan negeri, Dr Abdul Aziz Bari dalam isu pemberian hak milik tanah 999 tahun untuk kampung baharu amat mengelirukan. Ia menggambar seolah-olah beliau memutar-belitkan kenyataan atau mungkin sengaja tidak mahu menerima realiti. Dalam kenyataan medianya beliau memberikan beberapa fakta yang kurang tepat.

"Dakwaan beliau bahawa Pakatan Harapan (PH) Perak tidak pernah meletakkan pemberian pajakan tanah selama 999 tahun sebagai janji dalam manifesto mereka adalah satu kenyataan yang mengelirukan. Dalam perkara enam, bab 10 Dasar Tumpuan Pemerintahan PH Perak, seperti yang tercatit dalam Buku Manifesto PH Perak menyebut tentang hak milik kekal kepada kampung baharu. Pemberian hak milik 999 tahun didefinisikan sebagai hak milik kekal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Aziz bahawa tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan hak milik kekal kampung baharu diberikan kepada mereka yang layak.

Norali berkata, mengenai ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73 dalam Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/2018, perkara 3, jelas menyebut bahawa, Majlis Tanah Negara yang ke-42 dan ke-53 telah memutuskan supaya (a) tempoh pajakan bagi kampung-kampung baharu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan (b) tempoh pajakan bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 90 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah kampung baru: Hormati keputusan MB Perak

"Soalannya adakah hak milik kekal itu kurang dari 90 tahun? Adakah keputusan itu mengizinkan tanah-tanah kampung baru diberikan hak milik kekal? Jawapannya semangat keputusan itu hanya membenarkan tempoh pajakan tidak melebihi 90 tahun.

"Apa yang paling pelik ialah kenapa Abdul Aziz yang menjawab gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad sedangkan tanah bukan dalam portfolio beliau?" katanya lagi.

Sementara itu, Norali berkata, GMP merasakan terdapat isu kurangnya kebijaksanaan mentadbir di dalam pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu berkenaan.

Katanya, jika dilaksanakan pemberian hak milik kekal itu nanti, besar kemungkinan premium tambahan akan melonjak naik sekali gus membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, jika premium istimewa dilaksanakan ia akan merugikan kerajaan negeri kerana pendapatan kerajaan adalah dari hasil cukai.

Dalam pada itu beliau berkata, GMP menggesa Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Amanah menyatakan pendirian mereka terhadap isu pemberian hak milik kekal tersebut kerana hanya DAP yang dilihat ke hadapan dalam memperjuangkan isu tersebut.

Katanya, kerajaan Perak khususnya Ahmad Faizal diharap dapat menangani isu-isu yang lebih serius seperti hal ehwal kebajikan dari isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!