Pelbagai musim di hujung tahun

A
A
A

Musim tengkujuh @ hujung tahun dikaitkan dengan ribut, taufan, hujan dan banjir. Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Semenanjung ditenggelami air.

Nelayan tidak ke laut, pekebun getah tidak dapat menoreh, peladang sawit tidak dapat memetik hasil. Bila tidak ke laut, tidak menoreh dan tidak memetik hasil, pendapatan pun terputus.

Maka musim tengkujuh bagi mereka yang terlibat adalah musim tidak berduit, tidak berberas, tidak berlauk, mungkin juga tidak makan langsung.

Hatta musim berair ini juga selalu dikaitkan dengan kematian. Setakat ini, tiga kematian akibat banjir telah direkodkan di Serambi Mekah dan Negeri Penyu.

Pendek kata, dulu, kini dan selamanya tengkujuh selalu dikaitkan dengan kedukaan dan keperitan...

*MUSIM Tengkujuh kali ini juga adalah musim orang bersidang, dengan beberapa parti politik utama serentak berkumpul sambil bersorak-sorai.

Parti terbesar Melayu, mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di lokasi tetap kemegahannya, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan Konvensyen Nasional di IDCC, Shah Alam, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam waktu sama, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Negeri Bersejarah.Maka ketika rakyat jelata di kawasan terendam kedinginan lagi berwalang durja, perwakilan dan pemimpin parti, bersorak dan berhangat-hangat pada perhimpunan, kongres dan konvensyen.

Sambil bersemangat dan berkobar di dewan, ingatlah juga pada beribu rakyat yang menderita dilanda tengkujuh.

*MUSIM bersidang adalah juga musim pendedahan pelbagai skandal. Hanya beberapa jam menjelang kongres di Bumi Hang Tuah, ada tuduhan skandal membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhammad Yusoff Rawther, bekas pegawai Anwar, membuat pengakuan berkanun menuduh Presiden PKR itu pernah melakukan perbuatan keji terhadapnya.

Anwar menafikan dakwaan tersebut, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa tuduhan seperti itu ada kaitan dengan kemelut peralihan kuasa Perdana Menteri.

Belum lama dulu gempar isu video mengenai seorang yang menyerupai Azmin bersatu selimut dengan seorang lelaki. Kini muncul pula tuduhan seakan sama terhadap Anwar.

Maka perihal Presiden dan Timbalan Presiden PKR, tetap menjadi perhatian – dan perdebatan – umum rakyat di luar perhimpunan, konvensyen dan kongres.

*PADA perhimpunan di PWTC, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Muafakat Nasional antara parti itu dan Pas tidak akan menukar kerajaan menerusi pintu belakang.

Ketika merasmikan PAU beliau berkata: “Kerajaan sekarang akan ditukar menerusi cara yang sah, menerusi pilihan raya umum.”

Tambah beliau, walaupun ‘pintu belakang’ dan ‘pintu depan’ terbuka luas untuk menukar kerajaan, “kita akan msuk dari depan.”

Ramai yang bersetuju dengan Ahmad Zahid dalam hal ini. Kita demokrasi, buatlah sesuatu secara demokrasi, menerusi saluran yang betul.

Kalau ada pintu depan kenapa hendak main belakang?

*MASIH mengenai persidangan, dulu-dulu setiap kali PAU selalu dikaitkan dengan perilaku dan aksi memperaga kemewahan dan bermegah-megah.

Para perwakilan, lebih-lebih lagi wanita, menggayakan pakaian cantik – sesetengahnya menggiurkan! – sambil menayangkan barang kemas dan aksesori mewah.

Kalau pesanan Dr Asyraf Wajdi Dusuki diikut, yang bergengsi dan bergemerlapan itu sepatutnya tidak ada lagi pada pertemuan di PWTC kali ini.

Ketika merasmikan sayap parti, Ketua Pemuda UMNO itu mengingatkan anggota parti tidak harus lagi mempamerkan sifat elitis yang memperagakan kemewahan diri.

Katanya: “Pemuda UMNO dengan imej yang baru tidak harus ada lagi sifat elitis yang dilihat memperagakan kemewahan diri dan hanya minum di coffee house, ‘bercigar’ (bercerut) atau menggendeng beg berjenama semata-mata...”

Pesanan Dr Asyraf itu patut sekali diinsafi, lebih-lebih lagi UMNO sekarang tidak segah dan semewah dulu. Telah lama menayang beg mewah dan ‘bersigar’, kini tampilkanlah kesederhanaan.

Apa yang penting tunjukkan keikhlasan dan berjuang sungguh-sungguh membela Melayu, walaupun hanya berselipar Jepun dan berkopiah lembik.

*AKHIR kalam baik di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Melaka, selamat bersidang untuk semua. Berhujah dan berbahaslah dengan bijak dan waras, bukan setakat berkobar, beremosi, tetapi kosong.

Anda berada di forum yang serius, bukan berkelakar dalam program ‘Maharaja Lawak Mega.’

* Tok Perak