X

Kindly register in order to view this article
!

Wajarkah had jawatan PM?

A
A

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal amat menarik untuk dibincangkan. Ini selepas Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) berkaitan perjawatan Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu. Ia bertujuan untuk mengelak penyelewengan dan salah guna kuasa di samping menjamin tadbir urus kerajaan yang lebih telus dan berintegriti.

Umumnya cadangan itu bagus untuk proses penambahbaikan politik negara. Selain daripada sebab yang dinyatakan, ia juga akan memudahkan peralihan kepemimpinan kepada generasi seterusnya sekali gus memastikan negara tidak ketandusan pemimpin pelapis. Secara falsafahnya nampak begitulah. Cuma persoalannya apakah sistem politik kita kondusif dan bersedia dengan perubahan itu?

Lazimnya, pengehadan tempoh jawatan ketua kerajaan diamalkan dalam sistem politik berpresiden. Dalam sistem ini, seseorang yang terpilih sebagai Presiden (baca: ketua kerajaan) tidak perlu datang daripada mana-mana parti politik atau wajib untuk menganggotai badan legislatif sebagai syarat untuk dilantik sebagai ketua kerajaan.

Dalam masa sama, selalunya rakyat akan memilih Presiden secara terus dan tidak berantara ketika pilihan raya. Dan yang paling menonjol dalam sistem politik sebegini ialah amalan pengasingan kuasa yang sangat ketat dan kuat. Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia adalah contoh negara yang mengamalkan sistem itu.

Sebaliknya pula yang berlaku di Malaysia. Sistem demokrasi berperwakilan kita mewajibkan ketua kerajaan (Perdana Menteri) dipilih dalam kalangan ahli badan legislatif yang lazimnya terdiri daripada mereka yang telah menang di mana-mana kerusi Parlimen ketika pilihan raya.

Perkara itu berlaku disebabkan rakyat tidak memilih Perdana Menteri secara terus ketika pilihan raya. Mereka hanya mengundi wakil rakyat berdasarkan faktor parti yang secara implisitnya akan melantik ketua parti yang menang sebagai Perdana Menteri kelak.

Hal ini juga telah menyebabkan berlakunya ‘pelakuran kuasa’ (fusion of power). Amalan pengasingan kuasa hanya berlaku di atas kertas sahaja kerana Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya memiliki dua keahlian, sebagai ahli eksekutif dan legislatif serentak pada masa sama.

Disebabkan itu, Perdana Menteri boleh memerintah tanpa had kerana jawatan beliau bergantung kepada kebolehannya untuk memperoleh mandat dan sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat di Parlimen. Maka tidak timbul isu untuk mengehadkan tempoh jawatan tersebut. Ini berbeza dengan di AS dan Indonesia kerana kedudukan dan mandat Presiden datang terus daripada rakyat dan tidak tertakluk kepada sokongan ahli legislatif negara masing-masing.

Tambahan pula, parti politik tidak begitu signifikan dalam perjalanan pentadbiran kerajaan AS ataupun Indonesia. Baik Presiden Trump mahupun Jokowi, mereka tidak perlu melantik ‘orang-orang parti’ untuk mengisi jawatan Kabinet pentadbirannya apatah lagi mendengar arahan parti untuk setiap dasar dan ketetapan kerajaan.

Di sinilah masalahnya di Malaysia. Selalunya parti akan membentuk dan menguasai kerajaan. Parti yang menang bukan sahaja akan menentukan komposisi Kabinet malah setiap dasar dan ketetapan kerajaan banyak dipengaruhi oleh keputusan parti. Sebab itu, kekuatan parti akan membentuk kekuatan kerajaan dan lazimnya Perdana Menteri bukan sahaja berkuasa dalam parti, malah juga dalam kerajaan.

Ini kerana, kalau tempoh seseorang Perdana Menteri tamat selepas dua penggal memerintah, beliau masih boleh melantik proksinya ke jawatan itu sekiranya masih kekal sebagai ketua parti yang memerintah. Kalau ini berlaku, maka tidak ada sebarang makna perubahan RUU sedia ada.

Mampukah budaya dan amalan ini diubah? Ini kerana pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak akan berjaya kalau ia tidak dapat dilakukan. Selagi budaya parti menguasai kerajaan, masih sukar untuk melaksanakan cadangan yang diutarakan. Lebih elok kalau perkara itu dikaji terlebih dahulu dengan melihat dan belajar bagaimana pelaksanaannya di negara lain yang sistem politiknya mirip dengan negara kita.

Apa yang berlaku di Israel tahun 1996-2001 (Israel menukar sistem pemilihan Perdana Menterinya kepada secara terus dan tidak berantara serta turut menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada sepenggal atau tidak melebihi 7 tahun) mungkin cukup untuk menjadi pengajaran kepada RUU ini. Kita tidak mahu perubahan itu bersifat ‘separuh masak’ sementara dan akhirnya balik kepada sistem asal disebabkan lebih banyak masalah yang timbul berbanding kebaikannya.

Selagi budaya parti menguasai kerajaan, masih sukar untuk melaksanakan cadangan yang diutarakan."

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Kampus Seremban


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus