Budak bukan Islam teruja berkhatan

Peserta khatan anjuran Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang dimandikan beramai-ramai semalam. - Foto Bernama
Peserta khatan anjuran Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang dimandikan beramai-ramai semalam. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Amalan berkhatan memang sinonim dengan umat Islam namun ia tidak menghalang masyarakat beragama lain daripada turut sama mengamalkannya kerana baik untuk tujuan kebersihan dan kesihatan.

Barangkali disebabkan faktor itulah juga, dua kanak-kanak bukan Islam berasal dari Sarawak, Dylan Francis, 12, dan Aidely James, 11, begitu teruja untuk menyertai Program Berkhatan anjuran Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang di sini semalam.

Bapa Dylan, Francis Kanchin, 38, berkata, anaknya tidak takut untuk bersunat (berkhatan) malah nampak lebih bersemangat.

“Memang dia sendiri hendak datang bersunat. Tidak nampak dia takut, hanya tenang dan bersemangat,” katanya.

Francis berkata, berkhatan bukanlah amalan baharu kepada keluarga mereka kerana telah diamalkan oleh masyarakatnya iaitu kaum Iban sejak dahulu lagi.

“Jadi ini sudah menjadi perkara biasa yang perlu dilalui bagi kaum lelaki Iban,” katanya.

Bapa Aidely, James Jamang, 48, pula berkata, keterujaan anaknya untuk berkhatan dapat dilihat sejak tiga hari yang lepas apabila dia kerap bertanyakan bila mahu bersunat.

“Gembira lihat dia (Aidely) semangat. Dia ada kawan-kawan Melayu yang katakan tidak sakit, jadi disebabkan ini, dia berani.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun kalau ikut amalan nenek moyang, sunat adalah baik untuk menjaga kebersihan. Atas dasar itu, anak sulung kami (abang Aidely) bersunat juga,” katanya. - Bernama