Turunkan suhu politik

A
A
A

DEBAT politik selalunya menarik perhatian. Hujah bersilang antara politikus baik di peringkat atas mahupun di bawah, kerap mencuri perhatian awam, terutama media.

Dari dewan Parlimen hingga warung kopi. Dari pentas ceramah hingga kuliah agama, serta dalam blog. Komentar politik paling segar dan paling pantas diperkatakan di hampir semua medan.

Paling tinggi minat mencari berita politik adalah media. Petugas media akan bergegas mencari scoop politik untuk memanaskan berita dan melariskan akhbar. Lebih banyak komentar berbaur politik, lebih menarik.

Jika keadaan mengendur dan reda, maka dicari komentar orang bukan politik untuk memancing reaksi balas orang politik. Dalam politik, berbicara atau membisu atau enggan menjawab, semuanya boleh ditafsir oleh awam.

Apatah lagi bila media mencari komentar pihak lain untuk mengulas reaksi orang politik manakala ada juga orang politik yang gila menonjol diri dalam media.

Pokoknya, suhu politik boleh dipanaskan mengikut kehendak media dan orang politik.

Sebab itu sangat sukar menurunkan suhu politik sama ada antara parti mahupun dalam parti. Apatah lagi antara kerajaan dan pembangkang. Tidak mudah tidak mempolitikkan sesuatu isu.

Kerajaan mempertahankan pendiriannya manakala pembangkang mencari alasan untuk membantah dan mencari kesalahan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Walhasil, untuk menentukan sama ada populariti sesebuah parti menaik atau menurun sangat bergantung kepada bagaimana suatu isu itu dihujah dalam medan politik, maka politik lazimnya menjadi medan panas sepanjang masa.

Lalu politik menjadi fokus yang tidak pernah reda. Kerap kali politik mengambil ruang lebih penting dalam fikiran rakyat sehingga isu membina dan membangun diri, masyarakat dan negara terpinggir.Puak

Orang politik pula lebih ghairah berpolitik sehingga mengendalikan urusan rakyat tidak menjadi keutamaan.

Membaca siapa menang atau kalah atau parti mana bergolak atau pemimpin mana bersaing dengan pemimpin mana, menjadi berita paling diberi fokus.

Telefon bimbit dipenuhi mesej bertempur antara ahli politik, saling menghantar mesej menghentam, menyindir dan memperolok.

Soalnya politik yang berlebihan sering tidak mendidik dan tidak membina. Permusuhan bertambah tajam.

Pemikiran terbuka dan matang tidak dipentingkan. Mempertahankan dan meraih kepentingan kelompok politik berpuak adalah keutamaan.

Maka tenggelamlah kepentingan menguruskan rakyat di tengah suhu politik yang memanas. Soal sungutan rakyat petani dan nelayan serta pekerja bukan tajuk utama.

Keresahan pemandu teksi, peniaga kecil dan kakitangan awam tidak dibahas dengan jujur. Jika adapun dibangkitkan menjurus untuk mencari salah bukan mencari penyelesaian.

Isu rakyat hanya dibangkitkan di atas pentas politik sebagai strategi populis. Pilihan raya menjadi saat isu rakyat menjadi bahan kempen.

Pelbagai isu rakyat berkait ekonomi dan sosial serta keperluan asas sepatutnya menjadi tumpuan untuk membawa negara di persada dunia.

Pertelingkahan politik antara ahli politik dalam parti dan antara parti sepatutnya diuruskan di dalam mekanisme parti masing-masing.

Tidak perlu bertempur dalam media. Berpolitik untuk mengelak tumpuan kepada urusan rakyat yang sebenar adalah suatu pengkhianatan.

Rakyat tidak perlu dihidang dengan pertelingkahan politik yang memualkan. Rakyat perlu pembelaan. Rakyat perlu pemerintahan yang amanah dan cekap.

Suhu politik yang memanas menjurus kepada memecahbelahkan masyarakat perlu dihindar.

Di saat cabaran global sedang merempuh sempadan negara, rakyat mengharapkan pemimpin politik menguruskan negara sebaik mungkin. Tumpuan seharusnya diberi kepada membangunkan negara berasaskan keperluan rakyat.

Jika suhu politik terus memanas, negara dan rakyat akan menjadi mangsa kepada pertelingkahan tidak berkesudahan.

Yang menang bersorak, yang kalah mendendam. Rakyat terheret dalam polemik politik bermusuhan dan negara dirompak oleh mereka yang meraih kesempatan

Sudah sampai masanya kita reda daripada politik bersaing dan kembali menurunkan suhu politik bersengketa untuk menumpu kepada menyelesaikan masalah ekonomi rakyat.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu