Syahir cadang debat pendidikan di antara Fadhlina, Haim Hilman

Syahir
Syahir
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas berdebat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam membicarakan hala tuju ekonomi, Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman mencadangkan agar pentas perdebatan itu diteruskan bagi membincangkan isu nasional.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, pentas perbahasan itu dilakukan bukan di atas dasar politik atau pilihan raya sebaliknya untuk melihat pertembungan idea di antara ahli politik di blok kerajaan dan pembangkang.

"Saya mencadangkan perdebatan ini diteruskan dengan siri kedua. Menerusi siri ini, saya mencadangkan perbahasan berkenaan pendidikan yang mana isu ini dekat dengan rakyat.

"Bagi perbahasan siri kedua ini, saya mencadangkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq berdebat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah dalam membicarakan hala tuju dasar, polisi pendidikan negara," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurutnya, isu berkenaan menarik untuk dibicarakan kerana kebanyakan ibu bapa muda dan guru mahu mengetahui hala tuju dasar pendidikan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pentas perdebatkan itu merupakan platform terbaik untuk Fadhlina mengemukakan segala idea, visi dan misi memartabatkan kualiti pendidikan negara.

"Saya kira, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana ini yang ditekankan oleh YB Rafizi untuk tidak gentar dan buktikan bahawa kita mempunyai idea dan formula untuk menyelesaikan masalah.

"Isu pendidikan ini amat dekat di hati rakyat. Jadi saya berharap agar Menteri Pendidikan menyahut cabaran ini dengan hati yang terbuka tanpa sebarang syarat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, bagi debat siri kedua ini, Mohd Syahir mencadangkan pentas perbahasan pendidikan itu dianjurkan oleh Sinar Harian.

"Saya pasti banyak pihak sudi untuk menjadi penganjurnya dan saya mencadangkan debat kali ini dianjurkan oleh Sinar Harian. Sudah pasti ia akan membawa pendekatan baharu pentas debat negara,” ujarnya.