Banjir Terengganu dijangka pulih dua hari lagi

Sebuah taman perumahan di Gong Badak digenangi air.
Sebuah taman perumahan di Gong Badak digenangi air.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua hari lagi bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, setakat ini keadaan banjir semakin baik dengan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang berikutan cuaca cerah.

“Dalam tempoh satu atau dua hari lagi insya-ALLAH akan pulih, kita jangka begitu tengok keadaan cuaca,” katanya yang juga merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

Sementara itu, sehingga jam 6 petang tadi, seramai 797 mangsa dari 197 keluarga di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 612 orang daripada 152 keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong, SK Kampung Gemuruh, homestay Kampung Raja Tepoh, SK Bukit Nenas dan SK Kompleks Gong Badak.

Bagi daerah Kuala Terengganu, hanya sebuah pusat pemindahan sementara masih dibuka iaitu SK Banggol Peradong bagi menempatkan 195 mangsa daripada 45 keluarga.

Sementara itu, berdasarkan portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hanya Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut masih berada pada paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu berada pada paras waspada, manakala sungai utama lain kini normal.