Pakat dengan dua rakan curi wang majikan

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tindakan seorang lelaki berkomplot dengan dua rakannya untuk mencuri wang berjumlah RM10,000 milik majikannya membawa padah apabila dia ditahan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek bertindak membocorkan rahsia berhubung wang RM10,000 yang disimpan majikannya di dalam kereta kepada dua rakannya itu.

"Suspek juga mengaku berpakat bersama dua rakan lelakinya dengan memaklumkan wang tersebut berada dalam beg yang disimpan dalam sebuah kereta.

"Dua rakan suspek kemudiannya bertindak memecahkan cermin kenderaan itu lalu mencuri wang tersebut di kawasan parkir sebuah flat di Jalan Permatang Batu di sini," katanya ketika dihubungi tadi.

Susulan itu katanya, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 28 tahun di sini pada jam 9 malam tadi kerana dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

"Kita turut merampas wang tunai RM2,300. Salah seorang daripada suspek telah memasukkan wang berjumlah RM4,600 ke akaun adiknya. Sementara itu, baki wang yang dicuri telah digunakan untuk membeli barangan selain membayar hutang suspek yang juga pekerja mangsa," katanya.

Menurutnya, polis juga merampas tukul besi yang dipercayai digunakan suspek untuk memecahkan cermin kereta mangsa dan sebuah motosikal Honda EX5.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.