1.02 tan daun ketum bernilai RM193,000 dirampas

A
A
A

PADANG BESAR - Sebanyak 1.02 tan daun ketum bernilai RM193,000 berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta Perak di dua lokasi berbeza menerusi Op Wawasan Kedah Perlis hari ini.

Pegawai Pemerintah Medan Martak Batalion 1 PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah, Superitendan Abd Aziz Abdullah berkata, rampasan pertama dilakukan pada jam 1.30 pagi di sebuah pondok di kawasan ladang getah Felda Mata Ayer.

Menurutnya, anggota polis menunggu hampir sejam, namun tiada sesiapa yang datang ke pondok berkenaan dan pemeriksaan kemudiannya dijalankan bagi mengenal pasti kandungan guni di pondok terbabit.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 14 guni daun ketum seberat 510 kilogram dan kita anggarkan nilainya sebanyak RM76,500," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd Aziz, bagi kes kedua, pihaknya bertindak membuat rondaan dan pemerhatian di kawasan kebun getah Felcra Lubuk Sireh pada jam 9.30 pagi dan menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut mendapati terdapat 17 guni berisi daun hijau disyaki daun ketum.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: