Sukan Para ASEAN: Isu logistik, penginapan bakal beri masalah

Megat
Megat
A
A
A

SUKAN Para ASEAN yang akan berlangsung pada 18-25 Januari tahun depan di Filipina dijangka memberikan kesukaran kepada atlet sekiranya pihak penganjur tidak mengatasi beberapa masalah terutamanya berkaitan logistik.

Ketua kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beberapa kekurangan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak penganjur ketika kunjungan pihaknya ke Filipina Ogos lalu.

Menurutnya, selain masalah logistik, pihaknya mengenal pasti beberapa masalah lain antaranya bilik yang terlalu sempit untuk menempatkan dua atlet berkerusi roda serta bilik air di venue renang tidak mesra orang kurang upaya (OKU).

"Penganjur cuma menjanjikan satu bas yang boleh mengisi empat kerusi roda namun masalahnya akan tiba jika jadual pertandingan bermula di awal pagi. Bayangkan jika ada 10 bas sahaja dan penyertaan atlet seramai 200-300 orang, ini pastinya menimbulkan masalah nanti.

"Selain itu, kami mendapati keadaan bilik di perkampungan sukan di New Clark City juga hanya boleh mengisi dua atlet berkerusi roda berikutan keadaan bilik yang agak sempit.

"Bilik air di venue renang juga kami dapati tidak mesra OKU dan kami sudah maklumkan semua kekurangan ini kepada penganjur ketika mesyuarat ketua-ketua kontinjen negara sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba memastikan semua keperluan tersebut dipenuhi ketika Mesyuarat Pra-Pendaftaran Delegasi (DRM) yang akan diadakan dua minggu lagi di venue pertandingan.

Dalam perkembangan sama, kata Megat D Shahriman, 364 atlet dan pegawai bakal mengambil bahagian dalam 16 jenis sukan yang merangkumi 367 acara daripada keseluruhan 910 acara yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

"Prospek untuk kita mendapat pingat itu memang seperti yang disasarkan namun sasaran pingat sebenar biarlah Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) umumkan 13 Januari ini ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang. Setakat ini, semua program latihan berjalan seperti yang dirancang," katanya.

Penganjur Sukan SEA ke-30 di Filipina yang sedang berlangsung kini berdepan dengan pelbagai isu daripada negara peserta terutama sekali membabitkan isu logistik dan makanan halal namun Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Halimon Mohamad Sood berkata pihaknya sudah menyediakan pelan alternatif dengan penyediaan 2,000 pek makanan segera Brahim's.

Sukan Para ASEAN kesembilan yang diadakan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu menyaksikan kontinjen negara menduduki tempat kedua keseluruhan dengan merangkul 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa.