Mangsa banjir Kuala Nerus bertambah

Keadaan banjir di Kuala Nerus. - Foto: Pembaca Sinar Harian
Keadaan banjir di Kuala Nerus. - Foto: Pembaca Sinar Harian
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus bertambah kepada 625 orang berbanding 466 orang semalam berikutan limpahan air Sungai Nerus yang bertembung di lembangan Sungai Terengganu.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, data dari Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan kesemua mangsa membabitkan 161 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Bagi daerah Kuala Terengganu, hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong bagi menempatkan 396 mangsa dari 100 keluarga.

Bagaimanapun keadaan banjir di Setiu pulih sepenuhnya dengan sebuah pusat pemindahan sementara terakhir di sana ditutup semalam.

Sementara itu, berdasarkan portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hanya Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut masih berada pada paras bahaya.

Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu berada pada paras waspada manakala sungai utama lain kini normal.

Artikel Berkaitan: