Datuk mengaku ahli kongsi gelap Geng 24

Chau Pen atau lebih dikenali sebagai Sunny Coco berpangkat datuk mengaku bersalah menganggotai Geng 24.
Chau Pen atau lebih dikenali sebagai Sunny Coco berpangkat datuk mengaku bersalah menganggotai Geng 24.
A
A
A

KULAI - Ahli perniagaan, Datuk Seow Chau Pen, 52, atau lebih popular dengan panggilan Sunny Coco didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah menganggotai kumpulan kongsi gelap Geng 24@Geng Leng Hor di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah kerana melanggar Seksyen 24 Akta Pertubuhan 1966 itu di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan kongsi gelap itu yang merupakan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang pada 11 Oktober 2019, jam 11.10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Tertuduh juga merupakan individu dalam video tular di laman sesawang mengenai seorang lelaki berpangkat Datuk mengaku ahli kongsi gelap Geng 24 berdurasi 7 minit 38 saat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathulla.

Terdahulu, Chau Pen dilihat menundukkan kepala sebagai permohonan maaf dan mengaku dirinya bersalah di hadapan majistret yang memberi peluang untuknya membuat rayuan.

Pihak pendakwaan meminta hukuman berat dikenakan ke atas Chau Pen kerana video tular yang tersebar itu boleh mendatangkan kegusaran orang ramai.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Wong Cheer Feng meminta denda paling minimum dikenakan berikutan ia merupakan kesalahan pertama dilakukan tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.

Hukuman tersebut selepas mengambil kira faktor kepentingan awam, bagaimanapun tiada laporan forensik bagi menentukan ketulenan video yang tular itu.