PH perlu segera tubuh badan kawal isu negatif

Perwakilan Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir. Foto Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor.
Perwakilan Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abd Nasir. Foto Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional perlu mendesak kerajaan menubuhkan segera sebuah majlis komunikasi di peringkat Pakatan Harapan (PH) bagi mengawal selia isu-isu dalam negara.

Perwakilan dari Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abdul Nasir berkata, inisiatif itu penting kerana Pemuda Amanah tidak boleh berterusan sekadar menjadi reaktif dan hanya melenting apabila isu-isu negatif membabitkan kerajaan PH timbul.

Menurutnya, melalui penubuhan majlis komunikasi itu, kerajaan boleh memanggil kesemua pihak media sekaligus memantau sebarang penyebaran isu-isu yang tidak memihak kepada kerajaan.

"Saya juga mengambil contoh isu dakwaan skandal Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), saya ucap tahniah semua pihak berusaha menangkis tuduhan tidak benar itu.

"Namun saya lihat lebih baik kita mengetuai sesuatu kerana kita tidak boleh sekadar reaktif...bila ada isu baru kita melenting.

"Kita hendak desak kerajaan tubuh segera majlis komunikasi di peringkat PH bagi mengawal selia isu-isu dalam negara supaya segala isu tidak memihak kepada kita dapat dikawal," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perbahasan ucaptama Ketua Pemuda Amanah Nasional sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di Dewan Komuniti Batu Muda di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Saifullah turut menuntut Pemuda Amanah Nasional lebih agresif masuk ke dalam universiti dan institusi pengajian awam (IPTA) serta swasta (IPTS) untuk menarik penyertaan golongan mahasiswa ke dalam sayap parti itu.

Menurutnya, kesemua kepimpinan Pemuda Amanah perlu menerima hakikat kebanyakan mereka sendiri lahir daripada perkumpulan dilatih di universiti dengan mempunyai kesedaran agama.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena terima dengan hati terbuka bahawa mereka ini sebenarnya menjadi bekalan kepimpinan kita pada masa hadapan.

"IPTA dan IPTS merupakan tempat terbaik untuk kita mengambil ahli terbaik. Kita harus lebih agresif masuk IPTA dan IPTAS untuk mendapatkan segera mereka cerdik pandai bagi menyertai Pemuda Amanah," katanya.