X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga remaja 'lalok' antara dicekup

Antara penagih dadah ditahan Pegawai Unit Penguatkuasaan AADK Kuala Kedah dalam Ops Cegah 93/2019 sekitar Sungai Petani, semalam.
A
A

ALOR SETAR - Seramai 14 lelaki termasuk tiga remaja ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah 93/2019 di beberapa lokasi lokasi panas penagihan dadah di sekitar Sungai Petani, dekat sini, semalam.

Pemangku Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Irdawati Abdul Hamid berkata, pihaknya melakukan operasi di beberapa kawasan seperti Kampung Padang Chicar, Kampung Padang Buluh,Taman Sri Wang, Kampung Baharu Bakar Arang dan Kampung Pengkalan Bukit Kechil.

Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi hingga 9 malam tersebut turut dilakukan di Zon Kenanga Ambangan Height, Kampung Baru Sungai Lalang dan Kampung Batu Hampar Merbok.

"Melalui operasi selama 12 jam itu, Pegawai Unit Penguatkuasaan AADK Kuala Muda menahan penagih dadah berusia antara 16 hingga 48 tahun.

"Seorang remaja yang telah berhenti bersekolah di tahan di rumahnya di Taman Sri Wang, manakala dua lagi remaja ditahan di lokasi berasingan," katanya.

Menurutnya, ketika ditahan, dua remaja masing-masing berusia 16 dan 18 tahun yang Zon Kenanga Ambangan Height didapati masih dalam keadaan khayal dalam bilik remaja berkenaan.

"Susulan itu, kesemua mereka yang ditahan telah dijalankan ujian saringan awal air kencing di Pejabat AADK Daerah Kuala Muda," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati lima individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine, tiga daripadanya positif dadah jenis morfin dan enam lagi positif kedua- dua jenis dadah iaitu methamphetamine dan morfin.

Menurutnya, kesemua tangkapan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998.

Beliau berkata, individu terlibat dengan masalah penagihan dadah diseru untuk tampil ke pejabat AADK daerah Kuala Muda dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat bagi membantu mereka mengatasi masalah ketagihan dadah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus