Kerajaan peruntuk RM114.5 juta naik taraf sistem elektrik HSA

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) di Istana Pasir Pelangi hari ini. -Foto Bernama
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) di Istana Pasir Pelangi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM114.5 juta bagi menaik taraf komponen elektrik dan mekanikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang terjejas akibat kebakaran tiga tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerja-kerja naik taraf itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan ia dijangka bermula Februari hadapan.

"Apabila sudah berlaku kebakaran, integriti bangunan sudah tidak sama seperti sebelumnya lalu kita lakukan forensik.

"KKM (Kementerian Kesihatan) mendapati ia (bangunan terbakar) tidak sesuai menjadi ICU bahkan sebaliknya kita putuskan menjadi ruang menunggu sebelum pesakit dibenarkan pulang selepas rawatan atau tempat bermesyuarat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan First World Congress on Falls and Postural Stability di sini hari ini.

Dzulkefly dilaporkan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi tadi untuk berbincang mengenai rancangan mewujudkan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang tertumpu sepenuhnya kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan kanser.

ARTIKEL BERKAITAN: HSA dibaik pulih tahun depan, titah Sultan Johor

Kunjungan hormat itu juga antara lain bagi memberikan penerangan kepada baginda tentang usaha kerajaan membaik pulih dan menaik taraf HSA susulan kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan, Aras 2 Timur, Bangunan Induk HSA pada 2016.

Dzulkefly berkata, beliau juga mengambil maklum cadangan mengenai keperluan mewujudkan sebuah lagi hospital di Johor Bahru bagi menampung peningkatan jumlah pesakit serta kesesakan di HSA.

Artikel Berkaitan:

"InsyaALLAH akan saya bawa hasil rundingan ini untuk dibincangkan pengurusan tertinggi KKM dalam waktu terdekat," katanya.

Isnin lepas Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan perasaan dukacita baginda di Facebook mengenai apa yang baginda rasakan sebagai kegagalan Kerajaan Persekutuan membaiki semula pusat rawatan intensif HSA berikutan kebakaran itu yang turut meragut nyawa enam orang pesakit yang ditempatkan di ICU. - Bernama